Jun 05, 2009

(Celebrity News ) Tanpa paksaan, pilihan sendiri - Lisa jelaskan sebab pilih Astro


BIARPUN baru bertatih dalam bidang lakonan, pemilik nama Lisa Surihani Mohamed sudah cukup popular dan dikenali masyarakat umum.

Masakan tidak, sejak memegang watak utama dalam filem I'm Not Single, gadis berusia 22 tahun ini terus menjadi buruan industri seni tempatan.

Berkat keikhlasannya dalam dunia seni membuatkan tuah Lisa semakin mendatang, apalagi bila mendapat tawaran menjadi wajah ekslusif Astro selama setahun.
Dalam jangka masa berkenaan, Lisa tidak boleh berlakon dengan sebarang produksi untuk tayangan di stesen TV lain, kecuali stesen berbayar itu.

Khabarnya imbuhan untuk Lisa juga bukan kecil anak, sebaliknya si manis ini mampu tersenyum kerana bakatnya dinilai dalam jumlah sewajarnya. Memang satu rezeki besar untuk Lisa, namun di sebalik wajah eksklusifnya di Astro ada harga yang perlu dibayar. Kontrak eksklusif ini menyebabkan peluang untuk melebarkan sayap lakonan di stesen TV lain terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Persoalannya, apa akan jadi sesudah kontrak dengan Astro tamat? Apakah ada kemungkinan pemilik ijazah undang-undang dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom itu tidak lagi diterima stesen televisyen lain selepas kontrak berkenaan tamat?

Dan, apakah Lisa juga tidak akan menjadi 'bahan' untuk dipromosikan dalam rancangan-rancangan bukan drama terbitan stesen lain? Jika benar, bukankah itu satu kerugian yang amat besar terutamanya untuk artis baru seperti Lisa.
Mana tidaknya, tindakan Lisa memilih hanya sebuah stesen TV untuk menggunakan khidmat lakonannya boleh dianggap bagai menjerut leher sendiri.

Ketika namanya masih bertatih dan memerlukan kerjasama media untuk mempromosikan dirinya, hak eksklusif di Astro dilihat sebagai satu yang merugikan sekaligus menimbulkan rasa kurang senang stesen lain.

Bicara gadis ini, apa yang dikejar dalam bidang seni hanya kerana untuk mencari ilmu dan pengalaman, selain pendapatan. Dan dia sekali pun tidak pernah anggap apa yang dilakukan ini sebagai sesuatu yang merugikan.
Justeru, tidak ada kerisauan di benaknya kerana Lisa tahu semua pihak wajar melihat pilihan ini daripada sudut profesional.

"Kalau nak tanya sama ada saya risau atau tidak dengan risiko yang bakal diterima, saya rasa tidak. Ini kerana saya tahu setiap keputusan yang dibuat pasti ada baik dan buruknya.

"Saya ambil tawaran ini sebagai satu peluang dan platform untuk perbaiki diri dalam lakonan. Benar, wajah saya tidak akan muncul dalam mana-mana stesen TV selain Astro. Dan mungkin juga, gara-gara ini orang kurang mengenali saya kerana ia stesen TV berbayar.Tetapi saya cuba stabilkan kemunculan saya dengan mengambil tawaran sebagai pelakon iklan, jurucakap produk, serta berlakon dalam filem.

"Alhamdulillah, sepanjang tahun ini, jadual saya sudah pun tersusun," katanya yang telah pun selesai penggambaran telefilem Mataku Nampak Hantu dan Ponti Anak Remaja serta Tiga Janda.