"DON'T wake up the sleeping dog," pesan Akhil Hayy, 40, ketika ditanya perihal kontroversinya yang tidak pernah surut. Sememangnya penyanyi rock yang kemudian bergelar ustaz ini tidak habis-habis dikaitkan dengan penyanyi irama padang pasir, Waheeda, 31.
Mula-mula dikatakan bernikah secara senyap-senyap, kemudian menonton wayang pada tengah malam dan minggu ini, kecoh pula tentang gambar santai di tepi pantai.
Ia dikatakan gambar-gambar Akhil melepak dengan Waheeda di atas pasir bersama beberapa orang lagi yang wajah mereka telah dikaburkan.
Kononnya, mereka pergi makan ikan bakar di Port Dickson setelah habis penggambaran. Seorang lagi wanita dalam gambar itu didakwa seorang pelakon yang pernah hangat dengan aksi seperti seorang lesbian.
Bagaimanapun, Akhil yang dihubungi Sensasi Bintang semalam enggan memberi komen. Seperti biasa, dia tidak mahu mengiya ataupun menidakkannya.
"No komen, no komen. Ana (saya) tidak mahu cakap apa-apa. Cuma ana boleh katakan bahawa gambar itu diambil untuk adegan-adegan lakonan.
"Kalau ana cakap lebih-lebih orang boleh menyampah dengan ana," ujarnya yang menganggap gosip dirinya dan Waheeda yang tidak pernah selesai merupakan ujian paling besar dalam hidupnya.
"Dengan kecanggihan dunia Internet, orang boleh buat apa sahaja. Mereka bebas menyiarkan gambar. Bukan industri seni sahaja tetapi semua termasuk politik," ujarnya.
Akhil menambah: "Ana tidak faham, kenapa orang mahu kecoh-kecoh. Bukan ana pegang si Wawa (panggilan Waheeda) pun dalam gambar tu. Lepas itu mereka kaburkan gambar dua orang lagi. Kenapa?," Akhil bertanya kembali.
Sampai bila agaknya orang akan terus bercerita, tanya saya. "Jawapan bagi persoalan ini (hubungan dengan Waheeda) tidak ada. Jadi jangan direka-reka.
"Ini semua dugaan bagi ana. Ana terima," terang Akhil lagi yang menyatakan dia tidak rimas dengan pertanyaan umum. Baginya, selagi orang bertanya maka selagi itulah orang mengambil tahu akan dirinya.
"Agaknya kalau ana hanya berdakwah di dalam masjid dan surau, sudah tentu tiada cerita kontroversi ana. Tiada ada orang mahu fitnah itu dan ini," kesalnya yang memang telah masak dengan lumrah hidup selebriti.
"Ana mahu orang lebih ambil tahu akan dakwah dan karier ana. Ana takut orang menyampah pula dengan ana disebabkan kontroversi demi kontroversi," kata Akhil lagi.
Selain heboh cerita dia dengan Waheeda, ada juga yang mempertikaikan rambut lurus ala rebonding Akhil. Ketawa sahaja Akhil mendengarnya.
"Dulu rambut ana panjang, orang bercakap juga. Kalau nak tahu, rambut asal ana adalah kerinting. Jadi ana luruskan agar senang diurus. Ikut sunah Nabi, ana potong hingga ke paras bahu. "
Akhil yang dipanggil Ustaz Rock ini mahu khalayak lebih menumpukan kepada rancangan Cafe Akhil Hayy yang ditayangkan pada setiap Rabu pukul 7.30 malam di Astro Oasis.
Imbasnya, gelaran ustaz itu sudah diberikan sejak tahun 1986 tanpa pintanya. Itu jawapan bagi yang mempertikaikan bagaimana dia boleh dipanggil ustaz.
Gelaran itu, katanya, sudah sinonim dengan dirinya dan dia menerima dengan hati yang terbuka.
Sebelum mengakhiri perbualan telefon, Akhil menyeru agar umum tidak menghukum dirinya.
"Cukuplah dengan mengkritik, bukan menghukum kerana yang boleh menghukum hanya Allah. Bila ada bukti jelas, nyata dan terang maka barulah mereka (masyarakat) boleh bersuara dan menghukum."
Perancangannya kini selain berdakwah melalui televisyen, Akhil dalam rangka menyiapkan album yang terkandung lapan buah lagu-lagu ketuhanan. "Semuanya sedang berjalan lancar," katanya.