BELUM pun sempurna lagu single 'Ketentuan' dirakamkan, video rakaman lagu ini sudah tersebar luas. Malah, disebabkan pengedaran video itu juga, ramai yang menempelak dan mengkritik Maizawati Zainal kerana memilih bidang nyanyian sebagai sumber pendapatan.
“Memanglah suara itu aurat wanita tetapi niat saya hanya untuk beri nasihat dan berdakwah kepada orang yang senasib dengan saya,” ulas pelakon iklan, duta produk dan penyanyi Maizawati Zainal mengenai kritikan orang ramai yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan keputusannya memilih bidang nyanyian sebagai sumber pendapatan.
Bekas isteri penyanyi dan penceramah bebas Akhil Hayy yang mesra dengan panggilan Maiza ini baru selesai merakamkan dua buah lagu termasuk single ‘Ketentuan’ yang video rakaman lagu itu telah tersebar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Maiza yang tidak berpuas hati dengan perkara itu berkata dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika orang itu meneruskan penyebaran video di laman web YouTube itu.
“Itu bukan yang sebenar! Lagu itu belum selesai diadun, tetapi orang telah menilai dan mengatakan Maiza sudah tidak dapat menyanyi dengan baik.
“Benda tu telah melemahkan semangat saya. Jadi jangan cepat sangat menilai. Apa-apa tunggu dulu lagu itu siap.
“Saya telah memberi amaran kepada orang itu (menyebarkan video) namun saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan keras terhadap sesiapa yang menyebarkan tanpa pengetahuan saya.
“Lagipun, video itu melibatkan rakaman vokal saya yang belum diadun menjadi sebuah lagu. Jadi, orang akan membuat pelbagai tanggapan apabila menonton video itu.
“Saya juga belum memutuskan untuk menjual lagu itu secara terbuka,” kata Maiza dalam nada tidak puas hati.
Kata Maiza, dia akan berbincang dengan peguamnya, Zulkifli Che Yong yang pernah mengendalikan kes cerainya dengan Akhil sebelum ini terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.
Jelas ibu tunggal kepada enam orang anak ini, dia hanya baru bersetuju untuk merakamkan lagu raya, 'Tibanya Hari Raya' dan lagu ‘Ketentuan’ itu secara kebetulan setelah berbincang dengan pihak Yayasan Pembangunan Nurhikmah (YPN).
Zoom Komen: Apa2 la Kak Maiza..Saman Jangan tak Saman...!!! nakjuga dengar suara kak Maiza ni..