Berkat sabar menanti, akhirnya Lufya muncul dengan single pertama berjudul Diam yang kini sedang diputarkan di Hot FM.
Sekarang dia sedang menunggu sebuah lagi lagu untuk disiapkan sebelum album yang memuatkan enam buah lagu itu dihasilkan pada hujung Mei ini.
Selain Diam, dia juga tampil dengan Kaki Pengikis, Cintai Sakiti dan Kawanku. Kesemua lagu tersebut berentak pop dance.
“Saya menggubah sendiri untuk kesemua lagu-lagu saya kerana setiap lagu itu mempunyai cerita.
“Kalau kita menggubah lagu sendiri, secara automatik saya dapat sampaikan dan lebih merasai sesuatu lagu itu dari hati,” katanya yang menerbitkan albumnya di bawah syarikatnya sendiri, Lufya Omar Agency (LOA).
Dengan mengeluarkan duit sendiri, Lufya tidak pernah putus harap untuk menghasilkan album yang memakan masa lima bulan itu. Walaupun dia terpaksa melupakan niatnya untuk menggunakan khidmat komposer Manan Ngah, dia gagahkan dirinya juga untuk meneruskan perjuangan dalam industri muzik ini.