Jun 17, 2009

(Gossip) Ajai Mahu Kahwini Liza Ogos Ini ?


Sesudah sekian lama menduda, komposer Ajai atau Faizal Maas akhirnya mengakui bahawa dia akan mengahwini kekasihnya, Liza Ilyas, pada bulan Ogos 2009 ini.

Di kalangan warga industri hiburan, ramai mengenali Liza sebagai bekas orang kuat Warner Music Malaysia yang kemudian beralih kepada Maestro Talent & Management. Kini Liza bertugas dengan syarikat Ajai, Wake The Baby Records.

Ajai meluahkan pengakuan itu kepada murai.com.my ketika ditemui menjayakan rakaman klip video lagu Liyana Jasmay, Aku Tak Percaya Cinta di Universiti Multimedia, Cyberjaya, petang semalam.

"Memang betul. Saya memang benar-benar serius mahu berkahwin dengan Liza. Sudah 4 tahun saya hidup menduda, dan saya rasa sudah penat. Umur saya pun makin lama bukan semakin muda. Jadi rasanya, inilah masa yang cukup sesuai untuk saya menamatkan zaman duda saya," kata Ajai.

Menurut Ajai lagi, segala persiapan perkahwinan yang perlu sudah pun dibuat tetapi majlisnya akan dilakukan secara sederhana sahaja di kediaman datuk Liza di Pulau Pinang.

"Saya dan Liza sudah rancang untuk buat kenduri kecil-kecilan saja di rumah datuk Liza di Penang. Ia hanya akan dihadiri keluarga serta rakan-rakan terdekat. Ketika ini memang jadual kerja saya sungguh padat tapi, saya akan tetap luangkan masa yang sesuai untuk hari bahagia itu.

"Kalau boleh kami mahu berkahwin sebelum kedatangan bulan puasa nanti. Apapun keputusan saya untuk berkahwin dengan Liza ini adalah yang terbaik untuk anak perempuan saya, Ayu (hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama Nurul," jelasnya lagi.

Sementara itu Ajai yang menjadi mentor kepada abang Stacy, Chaq dalam program Mentor turut melahirkan rasa gembira apabila protegenya itu berjaya melangkah ke semi-final dalam program realiti hiburan tersebut.

"Banyak benda yang saya fikirkan untuk Chaq. Pengalaman menerbitkan album beberapa artis tempatan sebelum ini banyak membantu saya untuk membentuk Chaq sebagai seorang protege. Tapi ia tidak akan berjaya tanpa dibantu oleh orang-orang di kiri dan kanan saya. Mereka inilah yang bertungkus-lumus memikirkan apa yang terbaik untuk Chaq dari sudut imej dan personaliti.

"Pihak TV3 sudah bagi wang sebanyak RM8,000 setiap minggu kepada mentor untuk memastikan kita melahirkan yang terbaik untuk protege kita. Jadi pandai-pandai kitalah memanfaatkan wang tersebut," katanya.

Ajai juga tidak menafikan bahawa sejurus selepas program Mentor berakhir, dia akan mengambil Chaq sebagai artis naungan di bawah produksi labelnya, Wake The Baby.