Biarpun pembabitan itu sudah sedekad lamanya, tetapi pencapaian Zarynn untuk bakatnya diiktiraf dalam majlis anugerah tempatan masih belum kesampaian.
Namun, itu tidak sedikit pun membuatkan dia berputus asa untuk terus menyumbang keringat dalam industri seni.
Baginya, mungkin belum rezeki lagi. Bagaimanapun, Zarynn amat berbesar hati tatkala dia mendapat pencalonan di Asia TV Awards 2011 dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik yang berlangsung pada 8 Disember lalu.
“Sekalipun tidak menang, saya sudah bersyukur sangat kerana nama dicalonkan.
Maklum sajalah, ia pencalonan pertama yang pernah saya terima sepanjang menjadi pelakon. Bahkan, kalau difikir siapalah saya untuk bersaing dengan pelakon hebat wanita dari negara Asia lain seperti Singapura dan Taiwan.
“Justeru, pencalonan itu nyata satu pengiktirafan besar yang boleh membantu menguatkan lagi kehadiran saya dalam bidang lakonan tempatan. Saya tidak mengharapkan kemenangan biarpun siapa yang tak mahu membawa pulang anugerah berprestij seperti itu.
“Namun, saya akur saingan dihadapi adalah sengit. Apapun, saya sudah cukup berterima kasih apabila nama dicalonkan. Menang atau kalah, adat bertanding kerana semuanya bergantung pada rezeki ditetapkan tuhan,” kata Zarynn.
Menurut Zarynn, dia sendiri tidak pernah menyangka namanya mampu tersenarai dalam kelompok ‘Top 5’ di Asia TV Awards 2011 lalu berikutan dia tidak pernah dicalon dalam mana-mana anugerah di negara ini.
“Saya sedar nama masih tidak popular mana. Jadi, apabila mendapat tahu diri
tersenarai dalam Asia TV Awards 2011 tentulah sukar untuk mempercayainya.
Namun, saya memandang dari sudut positif iaitu juri sudah membuat penilaian.
Mungkin, ada kekuatan pada watak lakonan saya.
“Bahkan, pencalonan itu adalah permulaan yang bagus untuk perjalanan karier saya. Maklumlah, saya lebih cenderung melakonkan watak pelakon pembantu berbanding peranan utama. Justeru, mungkin selepas ini peluang saya lebih cerah dan lakonan makin menyerlah.
“Apapun, pembabitan saya dalam lakonan bukan untuk mengejar populariti atau anugerah. Saya berlakon kerana minat dan jika menang anugerah, itu adalah satu bonus pada diri ini. Namun, seperti saya katakan untuk meraih anugerah itu bergantung pada rezeki,” katanya.
Tidak terlalu cerewet dalam pemilihan watak, Zarynn berkata, sama ada peranan utama atau pembantu yang penting adalah sejauh mana seseorang pelakon itu mampu menjiwai karakter. Ujarnya dia sekadar memikirkan mahu memberi yang terbaik dalam setiap lakonannya.
Masih belum meraih sinar untuk membintangi filem, Zarynn berkata dia sedar sejauh mana kemampuan diri. Menurutnya, dia sudah bersyukur dengan tawaran berlakon drama yang diraih. Kata anak bongsu dalam keluarga ini, berlakon filem cabarannya lebih besar.
Katanya, dia bimbang apakah ada penonton akan menyaksikan lakonannya di layar perak nanti. Oleh itu, biarlah dia di tahap sekarang dan sekiranya ada rezeki
berlakon filem, dia takkan menolak. Apa yang penting, watak ditawarkan itu sesuai.
Selesa hidup bersendirian lagi, Zarynn berkata, buat masa ini dia selesa menumpukan sepenuh perhatian untuk memantapkan karier lakonannya dulu. Ujarnya, bukan dia tidak mahu berumah tangga dan berkeluarga, tetapi soal jodoh biarlah Tuhan yang menentukan. Sampai masa, takkan ke mana.
Info :Hmetro Online
ZoOM : Kurang Gossip memang lambat sikit nak naik dik...sabar ler ye...rezeki ada di mana-mana. Jangan naik kerana gossip panas macam artis Tutttttttttt... :)
Suka Gossip Ini ClickLah Like @ Share !! Follow @zoomartis
Suka Gossip Ini ClickLah Like @ Share !! Follow @zoomartis