Kesian Zoom baca luahan Anne ni, kenapa,mengapa dan siapa menjadi persoalan kisah ikatan keluarga mereka semakin goyah dengan dugaan.Apa-apa pun bacalah luahan Anne mengenai kisah keluarganya di bawah...
Kisah turun naik mahkamah antara Anne Ngasri dan suaminya Abdul Wafi Hassan, 28, atau Wafi mengundang perhatian banyak pihak.
Lebih-lebih lagi, tatkala lafaz cerai oleh Wafi terhadap dramatis terkenal itu dilontarkan pada 25 Mac lalu, Anne sedang hamil anak ketiga.
Kandungannya ketika itu telah berusia tiga bulan.
Siapa sangka pasangan yang dilihat seperti merpati dua sejoli pada progran Sehati Berdansa itu akhirnya hidup berasingan.
Malah ada yang secara spontan terus membuat dakwaan kononnya itu badi Sehati Berdansa.
Namun bagi anak kepada ikon radio, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar itu semuanya dianggap sebagai qada dan qadar tuhan.
Namun akuinya, dia dan bekas suaminya itu sudah tidak sebumbung sejak 25 Mac lalu,
Malah Anne juga mengakui, Wafi sudah tiga kali mengucapkan kata cerai kepadanya.
Selain yang dinyatakannya sebelum ini iaitu pada tanggal 25 Mac lalu, dua daripadanya adalah pada tahun lalu.
"Saya banyak merujuk kepada orang-orang yang mengetahui tentang agama sebelum membuat keputusan. Namun, apabila perkara yang sama jadi dan terjadi lagi saya tidak boleh berdiam.
"Memanglah dalam setiap hubungan perkahwinan, mana ada hati yang tidak berasa sayang. Siapalah yang mahukan perpisahan dalam perkahwinan mereka.
"Namun keputusan yang telah saya ambil adalah yang terbaik. Saya reda dan berasa cukup lega sekarang," kata Anne ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Aleema baru-baru ini.
Katanya, kini dia mencari kekuatan untuk kembali bangkit membesarkan dua anaknya.
Dia perlu perlu menjaga kesihatan diri apatah lagi ketika ini kandungannya kian membesar menjangkau usia empat bulan.
"Suami tahu saya sedang hamil ketika menceraikan saya pada 25 Mac lalu. Saya tidak tahu apa reaksinya selepas itu.
"Apa yang pasti saya sudah cuba sebaik mungkin menjaga perkahwinan kami sepanjang empat tahun lalu.
"Saya reda dan tenang menerima apa yang terjadi mungkin keputusan perpisahan ini adalah yang terbaik untuk saya.
"Dengan itu saya cukup yakin dan percaya pasti ada hikmah tersendiri di sebalik apa yang telah berlaku," kata Anne.
Namun dia mengakui sedikit gugup kerana itulah kali pertama melalui prosedur turun naik mahkamah.
"Apa yang boleh saya katakan, saya dan Wafi memang sudah tidak lagi sebumbung sejak 25 Mac lalu," ujarnya.
Mengimbas memori indah antara Anne dan Wafi, pasti ramai yang tidak menyangka pasangan yang dilihat cukup romantis mengalun gerak tari di lantai Sehati Berdansa itu berpisah jua akhirnya.
Bukan kerana kejutan budaya juga bukan kerana pihak ketiga, segalanya bagaikan ingin disimpan seutuhnya oleh Anne dalam kotak hatinya.
Kepada satu soalan sama ada dia merasakan apa yang berlaku itu adalah badi daripada program Sehati Berdansa, sambil tergelak besar, Anne menafikan perkara tersebut.
Bagi Anne apa yang terjadi terhadap perkahwinannya sebagai qada dan qadar yang telah ditentukan Tuhan.
Pada usia semudanya, pasti membebankan kerana ke mana sahaja dia pergi akan mengheret gelaran janda.
Namun, bagi Anne dia bersedia dengan apa yang telah berlaku.
"Apa yang boleh saya katakan, dalam rumah tangga kesalahan pasti ada antara kedua-dua pihak.
"Biarlah masalah yang saya hadapi disimpan oleh kami sahaja.
"Harap-harap peminat di luar sana mendoakan kesejahteraan saya agar sentiasa kuat dan tabah menghadapi dugaan ini," kata Anne.
Anne merupakan antara nama besar dalam industri drama tempatan dan sudah mula mencuri tumpuan ramai sejak kecil lagi.
Bermula sebagai pelakon kanak-kanak dan muncul dalam banyak iklan ketika berusia tiga tahun lagi, Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri mencipta nama dan kejayaan sebagai pelakon kanak-kanak sehinggalah dewasa.
Biarpun namanya sentiasa lekat di hati para peminatnya tetapi apa yang nyata, pelakon yang memiliki smiling eyes itu seboleh mungkin menyimpan segala cerita dan kisah cintanya.
Malah perkahwinannya dengan Wafi mengejutkan banyak pihak kerana kisah cintanya ditutup rapi.
Mereka memeterai ikatan perkahwinan pada 26 Mei 2006.
Hasil perkongsian hidup itu Anne dan Wafi mempunyai dua orang anak Abdul Warits, 4, dan Abdul Wafri, 2.
Banyak pihak terutama para peminat tidak pernah menduga bahawa bahtera hidup yang mereka bina kini telah hancur.
Namun, di sebalik penjelasan yang diberikan Anne ini, terasa masih ada perkara yang tidak diperkatakannya.
Apa yang sebenarnya berlaku hanya mereka berdua sahaja yang tahu.