Bertuah benar lelaki bernama Aziz. Ini kerana pada usianya 48 tahun, dia bertemu jodoh dengan seorang gadis manis, Puteri Sarbainun Lokman yang berusia 21 tahun.
Ikuti Luahan Abang Aziz kita mengenai Puteri Sarbainun...:-
Betapa tidak, Puteri Sarbainun atau lebih mesra disapa Puteri Lily hadir dalam hidup Aziz ketika duda beranak enam ini kesunyian dan trauma dengan perkahwinan ketiganya yang terpaksa ditamatkan secara tiba-tiba.
Keruntuhan rumah tangga kedua yang dibina selama 15 tahun dan perkahwinan ketiga yang bagaikan mimpi ngeri masih berkesan di hatinya. Namun takdir Tuhan tiada siapa yang mampu menolak.
Semuanya bermula tatkala Puteri Lily menemani pelakon kanak-kanak, Ain ke lokasi penggambaran drama Lakararahan Aziz pada Mei tahun lalu.
Lokasi drama berkenaan meninggalkan momen yang indah buat Aziz kerana di situ matanya tertancap ke arah gadis berkulit putih berambut panjang yang tidak lekang dengan senyuman.
Liuk lintuk bahasa badan Puteri Lily ketika menanti Ain menjalani penggambaran, bukan sahaja mencuri mata Aziz.
Sebaliknya, hati Aziz meronta untuk mendekati dan mengenali gerangan gadis manis itu.
"Pertama kali mata duda 'gatal' ini terpandang Puteri Lily, bagai ada kuasa besi berani yang menarik saya.
"Setiap kali berehat untuk babak berikutnya saya sentiasa mencuri pandang ke arah Puteri Lily walaupun dia tidak memandang saya," kata Aziz membuka rahsia.
Beberapa kali selepas melihat dari jauh, Aziz berkesempatan mendekati Puteri Lily ketika kesemua krew penggambaran Lakar merehatkan fikiran di pusat hiburan karaoke.
Selesai menjamu selera dan berhibur, Aziz memberanikan diri memberi nombor telefonnya sambil dalam hati mengharapkan Puteri Lily akan menghubunginya.
"Tapi biasalah orang perempuan. Suka jual mahal. Dia tidak menelefon saya sehinggalah saya hubungi dia ketika dalam perjalanan balik selepas satu mesyuarat di Damansara pada awal Jun," Aziz M.Osman ralit menyambung perbualan.
Kebetulan, Lily yang juga seorang pelakon ketika itu baru selesai menjalani fotografi di pusat membeli-belah One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya.
Dan Aziz secara tiba-tiba mempelawa Puteri Lily untuk menemaninya makan.
"Bila dia (Aziz) ajak makan, Lily, okey saja," Puteri Lily pula bersuara dan berkongsi saat indah dia dan kekasihnya menjamu selera.
Di meja makan, pasangan itu bercerita dan berkongsi pelbagai kisah daripada hal-hal peribadi kepada kisah kerjaya.
"Ketika rancak bersembang baru saya tahu nama sebenar Lily dan terkejut apabila mendapat tahu usianya baru 20 tahun (2009). Ini bermakna dia muda setahun daripada anak sulung saya, Puteri Nurul Fateha (anak hasil perkahwinan isteri pertama)," kata Aziz mengenai kejutan yang dihadapi pada pertemuan pertama itu.
Menyedari jarak usia yang cukup ketara antara dia dan Puteri Lily, Aziz berjanji pada dirinya tidak akan memilih gadis ini sebagai teman istimewanya.
Namun, apa yang dirancang oleh Aziz tidak menjadi kerana sekali lagi dia harus akur dengan ketentuan yang berlaku secara kebetulan.
Dalam perjalanan menghantar Puteri Lily balik, anak sulung Aziz menghubunginya dan meminta ayahnya itu menjemputnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Perak.
"Ketika itu, negara diserang H1N1, dan Fateha diarahkan balik. Saya tiada pilihan. Dengan persetujuan Lily kami berdua terus menjemput Fateha.
"Sepanjang perjalanan, sifat sebenar Lily terserlah. Walaupun masih muda, tetapi dia sangat matang dan dia memandang saya sebagai seorang Aziz M. Osman, bukan pengarah.
"Saya seronok berbual dengannya kerana sejak menduda saya mencari seorang kawan. Dialah kawan saya ketika itu untuk berbual dalam apa perkara.
"Dan Fateha pula dia tidak menunjukkan sebarang reaksi kerana dia menyangka Lily salah seorang girlfriend(kawan perempuan) saya," kata Aziz sambil memandang bakal tunangnya itu.
Puteri Lily yang mendengar kata-kata kekasihnya itu tersenyum malu sambil berkata: "Lily tau dia Aziz M.Osman seorang pengarah. Tetapi apabila bersamanya menjamu selera buat pertama kali bertentang mata, barulah Lily kenal seorang Aziz M. Osman.
"Sifat humornya mencuri hati Lily. Walaupun sebelum ini Lily pernah terlibat dalam drama terbitan syarikat Aziz, Ace Motion Picture iaitu Bong dan apabila krew bercakap tentang Aziz, Lily tak ambil kisah langsung.
"Bagi Lily biarlah dia pengarah ke apa ke, tak ada kena mengena langsung dalam hidup Lily. Lily bukan mengharap sangat peluang berlakon dalam drama dia sebab Lily pun ada syarikat sendiri," luah Lily, tuan punya GNE Talent Agency mengenai perasaan hatinya terhadap Aziz.
Setelah hubungan Aziz dan Lily mencecah usia dua bulan dan perasaan cinta mula bercambah di hatinya, sekali lagi Aziz berhadapan dengan kejutan.
Kejutan yang dimaksudkan ialah selama perkenalan dengan Puteri Lily, Aziz langsung tidak mengetahui yang kekasihnya itu merupakan anak kepada Lokman Ghani seorang Pegawai Produksi Istana Budaya (IB) yang juga pengarah teater terkenal.
"Saya terkejut kerana wajah Lily langsung tidak ada iras wajah Lokman Ghani. Apabila mengetahui perkara itu, saya tidak boleh buat apa kerana hati sudah mula terpikat padanya.
"Apa juga cabaran yang datang, saya akan hadapi. Sama ada diterima atau tidak oleh keluarga Lily, saya reda," Aziz mengakui keadaannya ketika itu.
Aziz dan Lokman sudah saling mengenali antara satu sama lain dan selama ini Aziz lebih mesra menyapa kenalannya itu dengan panggilan Abang Man.
Namun, pertemuan dengan Puteri Lily menyebabkan panggilan Aziz buat Lokman sudah berubah.
"Setelah lima bulan hubungan kami, hari yang paling saya takut datang. Hari itu, sekitar awal November, Lily ajak saya menonton teater Cuci the Musical di IB.
"Ayah Lily, Lokman menyediakan dua tiket untuk kami. Jika selama ini berjumpa Lokman saya memanggilnya abang Man, tetapi malam itu buat pertama kali berjumpanya saya cium tangan dan memanggilnya ayah.
"Syukur Alhamdulillah, 'ayah' terima kehadiran saya dan sejak saat itu saya berjanji di hati akan menjaga Lily sehingga hujung nyawa saya," kata Aziz lagi membuat pengakuan.