Penyanyi terkenal Raja Puteri Atilia Raja Haron atau Atilia, 36, tidak pernah serik untuk bercinta lagi selepas diceraikan dengan talak satu oleh bekas suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz pada Januari tahun lalu.
Sudah ditakdirkan jodohnya dengan Ariff yang dibina selama 10 tahun itu berakhir dengan penceraian. Tetapi pasangan itu masih berkawan baik. Namun penyanyi yang mempelopori rentak jazz kontemporari itu berkata dia masih mendambakan cinta yang kekal sehingga di akhir garisan.
Saat ditanya sudahkah hatinya terisi setelah menyolo lebih setahun lamanya, anak sulung penyanyi versatil 1980-an Salamiah Hassan itu hanya mengangguk. Atilia tanpa berselindung memberitahu jejaka yang cukuplah dikenali sebagai A itu telah bergelar kekasihnya sejak setahun lalu.
“Saya sudah lama mengenali A iaitu 12 tahun lalu kerana kami sama-sama meminati bidang muzik. Pada mulanya kami hanya berkawan tetapi pada tahun lalu baru hubungan kami serius,” katanya.
Ditanya bilakah pasangan itu merancang untuk berkahwin, penyanyi lagu Sangkar itu mengakui sedang bersedia untuk ke fasa itu.
“Insya-Allah, kami merancang untuk berkahwin pada hujung tahun ini atau tahun depan,” ujarnya mengenai buah hatinya yang merupakan pemilik sebuah syarikat produksi.
Terus-terang, wanita yang gemar beryoga di beyoga setiap hari itu menyenangi lelaki berusia 33 tahun itu kerana dia begitu memahami kerjanya dan mempunyai minat yang sama dengannya iaitu muzik. Namun, dia enggan bercerita lebih lanjut mengenai lelaki itu setelah merasakan tidak manis tambahan lagi keluarga A belum mengetahui tentang hubungan mereka.
“Biar kami beritahu kepada keluarganya dahulu. Lepas tu baru saya boleh mendedahkan siapakah gerangan A,” tuturnya.
Sebetulnya, Atilia pula merupakan seorang yang terlalu privasi dan lebih selesa bercakap tentang soal karier. Tetapi dia tidak mampu menyembunyikan cerita cintanya itu lagi memandangkan gambar mereka berdua sudah menceritakan segalanya.
Zoom: Semoga anda bahagia !!!