Baca Selanjutnya
PETALING JAYA: Azlina Merican, pengurus kepada Awal Ashaari memberitahu satu sidang media khas akan diadakan berhubung dakwaan pelakon dan pengacara popular itu enggan membuat ujian air kencing semasa serbuan di pusat hiburan tanpa lesen di bumbung sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang dekat sini awal pagi semalam.
Sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu akan dianjurkan oleh pihak Astro sempena Malam Kemuncak Sehati Berdansa musim ketiga.
Azlina juga memohon maaf kepada mStar Online atas kesilapannya yang menafikan sekeras-kerasnya penglibatan Awal dengan kes tersebut semalam.
“Saya minta maaf sebab saya salah faham. Saya sebenarnya mahu menafikan Awal disabit positif dadah.
“Namun saya tetap ingin menafikan tentang dakwaan mengatakan Awal enggan membuat ujian air kencing dan dia juga tidak menyorok dalam bilik air seperti yang didakwa,” kata Azlina di sini.
Semalam, Awal bersama 21 pengunjung kelab malam 'haram' ditahan di bumbung sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang itu.
Pelakon berusia 28 tahun itu ditahan kerana enggan menjalani ujian air kencing dalam serbuan pukul 3.15 pagi itu.
Difahamkan, pelakon Ridzuan Hashim, Scha Al-Yahya dan Juliana Evans turut berada di pusat hiburan berkenaan. Namun mereka dibebaskan setelah ujian air kencing yang dijalankan didapati negatif.
Terdahulu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Supritendan Sharifah Hawariah Syed Idrus berkata, pusat hiburan yang terletak di tingkat lapan itu didapati beroperasi tanpa lesen sejak lebih enam bulan lalu pada setiap malam sehingga pukul 6 pagi.
Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur manakala mereka yang didapati positif dadah disiasat di bawah Seksyen 15 (1)9(a) Akta Dadah Berbahaya 1950.
Bagaimanapun, Awal kemudiannya dibebaskan setelah hasil ujian kencing didapati negatif.