Disember 16, 2009

(Cerita Artis) Imej Unik Dan Biodata Ana Nur Hidayah !!!


Sehingga kini gadis yang sering tampil menjayakan persembahan dengan imej unik berpakaian tradisi sambil bermain gitar itu sudah mempunyai tiga koleksi gitar peribadi. Kebolehannya menyanyi lagu ciptaan sendiri sambil bermain gitar mencuri perhatian ramai.

Pencipta lagu dan penyanyi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini, memilih untuk memberi tumpuan serius dalam menerusi dunia seni tanah air. Dorongan keluarga dan rakan membuatkan gadis ayu ini semakin gigih mencipta nama.

Di samping persembahan solo, gadis yang cenderung kepada genre pop alternatif turut tampil bersama kumpulan The Marhaens yang terdiri daripada Aidit Alfian (gitar akustik), Andy Flop Poppy (bass), GG (gitar), Iqbal (pemain cello) dan Mie Flop Poopy (dram). Single ciptaannya Hujan Bunga di Kuala Lumpur dan Cuba Jangan kini mula mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tanah air.



Baca Selanjutnya

"Saya selalu berangan menulis lagu ketika menuntut di sekolah menengah. Ada saja perkara atau cerita yang mahu saya tulis sehinggalah timbul idea untuk menulis lirik lagu dengan bantuan rakan yang mahir bermain gitar. Lama kelamaan minat untuk bermain gitar itu timbul. Melalui bantuan rakan saya mula belajar bermain gitar pertama yang dibeli dengan wang saku sendiri bernilai RM139.

"Untuk menguasai permainan gitar, saya membeli buku mahir bermain gitar dalam masa 30 hari. Alhamdulillah latihan dan tunjuk ajar rakan membolehkan saya mahir bermain gitar. Saya sendiri tidak menyangka minat bermain gitar dan menulis lagu secara suka-suka akhirnya menjadi serius.

"Minat menulis lagu ini juga mungkin didorong minat menulis dan aktif menyertai pelbagai aktiviti termasuk debat.

"Ketika menyertai program pertukaran pelajar di Jepun, saya berpeluang menyaksikan persembahan John Mayer, dari situ juga minat menyanyi sambil bermain gitar semakin kuat," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali

NAMA SINGKATAN: Ana Raffali

TARIKH LAHIR: 4 November 1985

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

ADIK-BERADIK: Anak ke sembilan daripada 11 beradik

KARIER: Penyanyi dan penggubah lagu

PENDIDIKAN: Graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

MUZIK YANG DIGEMARI: Rock, alternatif, pop & klasik

ALAT MUZIK: Gitar Martin & Co 000-15

IDOLA: M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza

LAGU YANG DICIPTA: Hujan Bunga di Kuala Lumpur, Mekanika, Cuba Jangan, Ketika Aku Kecil, Ingatkan Aku, Tingkap Kaca, My Darling, Ghost, Lovely Lovely Scene dan Paint Me