Artis Kita....
PERKAHWINAN pasangan Johan Raja Lawak dan pelakon Ozlyn Wati pada 25 Julai lalu kini pastinya lebih gembira setelah Ozlyn disahkan mengandung dua bulan.
Johan yang hadir ditemani Ozlyn pada sesi santai Raja Lawak bersama media yang berlangsung di restoran Marche Movenpick, The Curve semalam mengatakan dia menyedari isterinya mengandung setelah Ozlyn mengadu sakit perut dan muntah-muntah..
Baca Selanjutnya
"Saya tak ingat bila yang pertama kali saya bawa dia (Ozlyn) berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan, tetapi saya menyedarinya setelah dia mengadu pada saya dia selalu sakit perut dan muntah-muntah.
"Bila kami pergi berjumpa doktor untuk buat pemeriksaan, doktor mengesahkan dia mengandung dan perasaan saya sangat gembira hingga tak terkata apa-apa," katanya.
Menurut Johan juga, isterinya tidak mengalami sebarang masalah untuk mengidam makan sesuatu ketika mengandung, sebaliknya dia yang mengalami masalah tersebut apabila kerap mengidam makan makanan yang manis.
"Dia tidak mengalami sebarang masalah mengidam walaupun dia yang mengandung, cuma kadang-kadang tu adalah... tapi tidak begitu serius.
"Yang peliknya, saya yang menghadapi masalah tersebut apabila sekarang saya kerap mengidam makan makanan yang manis.
"Sedangkan sebelum ini saya bukan suka sangat makanan manis, tapi sejak dia mengandung, saya asyik nak makan kek, ais krim dan semua makanan manis sampai saya rasa berat badanpun dah naik," jelas bekas peserta Raja Lawak musim pertama ini.
Johan juga mengatakan dia tidak membuat sebarang persediaan bagi dirinya yang pertama kali akan menjadi seorang bapa, sebaliknya lebih menumpukan persediaan untuk menanti kelahiran anaknya itu.
"Pada saya tidak ada sebarang persediaan yang perlu saya lakukan pada diri saya walaupun ini pertama kali bakal bergelar bapa.
"Saya ingin lebih menumpukan persediaan terhadap anak saya itu nanti seperti membeli barangan bayi dan berbagai lagi.
"Selain itu, jika nanti saya sibuk dengan tugasan, saya akan tetap bawa Ozlyn bersama saya jika dia larat untuk ikut saya, jika tidak saya akan bawa dia tinggal bersama ibu saya untuk menjaganya," jelas Johan yang mahukan anak kembar.
Ozlyn tidak mahu terlalu mengharap
Bagi Ozlyn pula, dia turut gembira seperti suaminya apabila mereka bakal memiliki cahaya mata mereka sendiri, namun dia tidak mahu terlalu mengharap kerana usia kandungannya masih terlalu awal.
"Jika mengenai perasaan saya, saya gembira dan teruja bila dapat tahu saya mengandung, tetapi buat masa ini saya tidak mahu terlalu mengharap.
"Persediaan juga pada saya tidak perlu lagi buat masa ini kerana usia kandungan saya masih awal dan biarlah bila kandungan saya sudah hampir sembilan bulan baru kami akan membuat persediaan membeli barangan bayi dan sebagainya," katanya.
Bagaimanapun Ozlyn mengatakan pada pemeriksaan awal yang dilakukannya dia menghadapi masalah semasa menjalani ujian ultrasound tiada sebarang imej bayi yang dilihat.
"Masa menjalani ujian ultrasound ketika mula-mula melakukan pemeriksaan, saya takut sangat apabila tiada sebarang imej bayi dalam kandungan saya dapat dilihat di skrin.
"Pada masa itu doktor sudah mula suspek mungkin saya mengalami masalah mengandung di luar rahim... bila saya dengar macam itu, perasaan gembira yang ada terus bertukar tidak gembira.
"Tetapi sebulan selepas itu saya datang lagi sekali untuk buat pemeriksaan dan alhamdulillah kami dapat lihat imej bayi di dalam kandungan saya," kata Ozlyn yang bahagia bersama Johan.
Ozlyn juga memberitahu sejak dia mengandung, rezeki yang diterimanya masih lagi mencurah apabila dia ditawarkan untuk berlakon di dalam sebuah drama yang akan disiarkan di slot Akasia namun tawaran tersebut masih lagi di dalam proses perbincangan.
Tambah Ozlyn juga, jika usia kandungannya sudah mencecah lima atau enam bulan dia masih sanggup untuk menerima tawaran berlakon jika terus diberi peluang