September 17, 2009
(Celebrity News) Amy Search Dengan Anak Lelakinya !!!
PASTINYA hari lebaran tahun ini begitu menggembirakan buat lagenda rock tanahair, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 51, apabila isterinya Norhasniza Hassan (Norish)telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada pukul 3.55 petang semalam di Hospital Gleneagles, Ampang.
Malah Amy melahirkan rasa kesyukurannya setelah anak kelimanya Qaqa At-Tameemi selamat dilahirkan seberat 3.5 kilogram. Norish telah melahirkan Qaqa secara pembedahan.
Amy yang dihubungi mStar Online, mengatakan dia begitu bersyukur masih dikurniakan cahaya mata kerana Amy tidak menjangka selepas usianya menjangkau 50 tahun dia akan memiliki cahaya mata lagi.
"Saya sangat bersyukur setelah Qaqa selamat dilahirkan, saya sendiri tidak menjangka akan mendapat cahaya mata lagi selepas usia saya menjangkau 50.
"Saya tidak pernah bercita-cita untuk ada anak lagi selepas umur saya sekarang ini, tetapi rezeki yang Tuhan beri pada saya dan saya amat bersyukur," katanya.
Ditanya mengenai makna yang terdapat pada nama anaknya, Amy mengatakan dia memilih nama Qaqa At-Tameemi itu adalah kerana tertarik dengan kisah Ketua Tentera Islam, Qa'qa bin Amr Al-Tameemi yang cukup disegani.
"Makna pada nama anak saya ini adalah ruang kesempurnaan atau dalam sesetengah buku lain bermaksud kehidupan sempurna.
"Nama ini saya yang pilih dan saya ambil dari salah sebuah buku yang berjudul 'The Great Muslim Commander' yang saya beli ketika berada di Madinah.
"Buku itu menceritakan mengenai sejarah pejuang-pejuang Islam dan saya tertarik dengan cerita mengenai Ketua Tentera Islam, Qa'qa bin Amr Al-Tameemi," jelas Amy.
Amy turut mengatakan, dia tidak akan membuat sebarang persiapan raya kerana ingin menumpukan perhatian kepada isteri dan anak-anaknya.
"Tahun ini tiada sebarang persiapan raya... saya hendak tumpu kepada isteri dan anak-anak saya.
"Saya pun tidak merancang untuk balik beraya ke kampung, tambah dengan keadaan isteri saya, jadi tahun ini cuma akan beraya di Kuala Lumpur saja.
"Rumah terbuka pun tak pasti lagi akan dibuat, cuma jika ada saudara mara atau rakan-rakan yang ingin melawat kami alu-alukan," kata penyanyi utama kumpulan Search ini.
Amy yang pernah berkahwin sebanyak tiga kali, kini telah mempunyai lima orang anak hasil perkahwinannya dahulu dan kini. Nabila Huda anak sulung Amy hasil perkahwinan pertama. Perkahwinan seterusnya melahirkan seorang lagi anak perempuan, Alisha.
Amy telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 5, Sania Samara, 4 dan terbaru Qaqa At-Tameemi, 2 hari bersama isterinya Norish.