Jun 01, 2009
(Celebrity News ) Strategi Baru Dayang ??
Berbeza dengan penampilan sebelum ini, Dayang mencipta kelainan menerusi album baru, Luka yang berada di pasaran sejak dua bulan lalu.
Menariknya, album kesembilan itu dijual bersama novel pertama karya Tris Zainol Abidin hanya boleh dibeli menerusi laman web, www.luka.com. Album itu yang memuatkan single dalam dua versi iaitu Luka dan Losing Me ciptaan Tris, dilancarkan di Belum Rainforest Resort di Pulau Banding, Perak. Lebih bermakna, pada majlis itu Dayang dilantik sebagai duta pemuliharaan dan pengekalan alam semula jadi bagi Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah.
Kata Dayang, sambutan peminat pada album dan novel itu yang dijual secara pakej masih menggalakkan. Biarpun kebanyakan artis belum yakin dengan pasaran jualan album sebaliknya dia percaya strategi pakej ini mampu menarik perhatian peminat untuk membeli.
"Buat masa ini, saya masih terbabit dengan aktiviti promosi album berkenaan. Sebelum ini, ada juga peminat yang bertanya bagaimana cara mudah untuk memiliki album istimewa ini dan keliru sama ada kedua-dua produk ini dijual berasingan. Bagaimanapun, mereka masih boleh mendapatkannya menerusi laman web pada harga RM29.
"Setakat ini, peminat masih boleh terima konsep album ini yang dijual bersama novel. Namun, saya percaya ada segelintir peminat yang ambil masa untuk menerima konsep album sebegini.
"Pada saya, kehadiran album ini memberi tarikan tersendiri. Peminat bukan hanya membaca novel, mereka juga boleh mendengar lagu baru saya. Mengenai novel, ia mengetengahkan kisah cinta tiga segi antara tiga remaja iaitu jejaka bernama Luka bersama dua gadis, Rika dan Alia.
"Kata Tris sebelum ini, antara watak Rika dan Alia, ia mempunyai persamaan dengan perwatakan saya. Untuk ketahui jawapan sebenar, peminat perlu membaca novel ini dan saya fikir, peminat boleh teka yang mana satu watak saya," katanya.
Perkembangan lain, Dayang menyatakan dia kini dalam perancangan membuat persediaan untuk persembahan solo sempena hari jadinya ke-28 yang akan disambut pada 20 Julai nanti. Menjadi kelaziman setiap tahun, Dayang sering mengadakan sambutan hari jadi pada setiap tahun bersama peminat. Jika sebelum ini, Dayang memilih Planet Hollywood, Kuala Lumpur sebagai lokasi 'wajib', kali ini dia mengambil lokasi baru di Hard Rock Cafe.
"Persembahan itu nanti dijangka berlangsung hampir dua jam bermula 11 malam dan saya akan menyanyikan 13 lagu tidak termasuk beberapa lagu medley. Saya juga berhasrat menyanyikan lagu penyanyi lain pada malam itu, ia menjadi kejutan buat peminat saya yang hadir.
Labels:
Artis Malaysia,
Celebrity News,
Cerita Artis,
dayang nurfaizah,
Media