Jun 12, 2009

(Celebrity News) Iraheta bakal rakam album


DIA hanya meraih tempat keempat dalam program realiti TV popular, American Idol musim kelapan (AI8), namun Allison Iraheta sungguh bertuah apabila bakal muncul dengan album sulung.

Pelajar sekolah berusia 17 tahun itu kini menyertai juara AI8, Kris Allen dan naib juara, Adam Lambert menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman 19 Recordings.

Sebelum muncul dengan album masing-masing, Iraheta, Allen dan Lambert bakal bergabung dengan kesemua peserta final AI8 untuk menjayakan konsert bergerak yang bakal bermula pada 7 Julai depan di Portland, Oregon.

Menurut pemilik 19 Recordings, Simon Fuller, Iraheta merupakan salah seorang penyanyi remaja terbaik pernah dilahirkan program realiti TV tersebut.

Iraheta yang merupakan anak kepada imigran dari Salvador yang tinggal di Downey yang terletak di pinggir Los Angeles, memberitahu dia sudah bercita-cita untuk menyertai American Idol sejak usianya sembilan tahun lagi.

Album debut Iraheta itu nanti bakal diedarkan Jive Records yang bernaung di bawah Sony Corp.