Mei 23, 2009

( Weeding ) Majlis pernikahan Adlin Aman Ramli Dan Emelda Rosmila


IPOH: “Saya terkenangkan arwah ayah kerana dia teringin sangat melihat saya bernikah dan bersanding dengan Adlin,” kata Emelda Rosmila Abdul Hamid atau Emelda, 29, mengenai perasaannya yang sedih sewaktu majlis pernikahannya dengan pengarah dan pelakon, Adlin Aman Ramli, 38.

Tepat jam 5.30 petang, hanya dengan sekali lafaz, pasangan ini selamat dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Rujuk, Kawasan Ulu Kinta, Perak, Zainudin Abu Arshad di Masjid An-Nur, Batu 8, Tambun di sini, semalam. Ia disaksikan 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan saudara-mara terdekat.

Pada majlis itu, pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM1,001 berserta tujuh dulang hantaran termasuk cincin nikah, senaskhah al-Quran, telekung, beg dan kasut berjenama Gucci, kelengkapan peribadi dan manisan.

Manakala pihak perempuan membalasnya dengan sembilan dulang.
Sebaik melangkah masuk ke dalam masjid dan duduk di mini pelamin, kelihatan pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Manjalara itu menitiskan air mata.

Ditemui di majlis sidang akhbar ringkas di kediaman pengantin perempuan, Emelda menjelaskan dia amat rapat dengan arwah bapanya, Abdul Hamid Md Ally.

“Sebelum meninggal arwah ayah selalu cakap dengan saya yang dia hendak sangat melihat saya naik pelamin. Bagaimanapun, apabila tiba harinya, dia tidak ada.

“Kata-katanya itu bermain di kepala saya sebaik melangkah masuk ke dalam masjid. Ketiadaannya untuk menikahkan saya pada petang ini (semalam) amat saya rasai,” katanya.

Sementara itu, Adlin menjelaskan di awal berkenalan dengan Emelda, arwah bapa mentuanya antara orang paling gembira.

“Sewaktu kali pertama saya diperkenalkan dengannya, arwah bapa mentua sangat memahami dan sering mendoakan perkenalan kami akan berakhir dengan pernikahan.

“Dia juga tidak menyembunyikan perasaan bangganya apabila kami mengambil keputusan untuk berkahwin, tetapi apabila tiba hari bersejarah ini dia tiada. Allah lebih menyayangi dirinya dan kami reda dan jauh di sudut hati kami tahu dia merestui akan keputusan (bernikah) yang kami ambil,” katanya.

Adlin turut bersyukur selepas empat tahun bercinta dengan Emelda akhirnya dia dapat menjadikan pelakon wanita itu suri hidupnya.

Malam ini majlis persandingan akan berlangsung di Dewan SUK di Ipoh. Jelas Adlin , dua peserta Akademi Fantasia 7 iaitu Aril dan Akim memberikan persetujuan hadir dan menghiburkan tetamu