Mei 31, 2009

(Gossip) Yasmin bukan 18SX


Namun jauh di lubuk jiwanya, perasaan gementar dan takut bercampur baur. Masakan tidak, pertama kali menggalas peranan utama, Yasmin perlu memegang watak wanita ‘jalang’. Beraksi di adegan ranjang, dipeluk dan dirangkul, malah turut dirogol lelaki bernafsu buas, bukan sesuatu yang mudah baginya.

Mula memainkan watak Maria, Yasmin atau nama sebenarnya Yasmin Khanif tidak langsung terfikir mengenai populariti atau soal kontroversi. Bagaimanapun, lakonannya mula dikritik apabila Yasmin dikatakan berani memainkan peranan berkenaan.

Akui Yasmin, sebagai pelakon baru, dia tidak mahu memilih watak. Baginya, biar dia mengutip pengalaman dan mencuba sesuatu yang baru.

“Sejak mula berlakon filem ini, saya tidak langsung terfikir mengenai populariti mahupun kontroversi. Cuma apa yang terlintas, mampukah saya membawa watak sebegini. Ketika melihat skrip yang diberi, saya rasa takut untuk mencubanya.

“Terus terang saya katakan, Maria adalah watak yang mencabar. Malah, tawaran membintangi filem ini saya terima kerana menyukai jalan ceritanya. Ia mengisahkan seorang wanita yang mahu keluar daripada kehidupan hitamnya dan kembali ke pangkal jalan.

“Walaupun ada adegan yang boleh dikategorikan sebagai 18SX dan 18PL, ia tidak terlalu terlampau. Kebanyakannya dilakukan menggunakan teknik kamera. Malah, semua itu membawa mesej untuk cerita ini.

“Filem ini menerapkan unsur kesedaran dan adegan panas dipaparkan itu sekadar sokongan untuk keseluruhan jalan cerita, sekali gus memberi gambaran kehidupan lampau Maria.

“Saya harap, penonton akan menilai soal moral yang cuba dipaparkan cerita ini daripada mempersoalkan lakonan saya,” katanya.

Tambah Yasmin, dia malu apabila perlu melakukan watak negatif berkenaan. Namun sebagai pelakon, semua itu terpaksa diharunginya. Malah, yang lebih mencabar adalah ketika menjayakan babak Maria dirogol oleh pengawal keselamatan.