Mei 23, 2009
( Gossip ) Ayu Raudah Masih Berteka Teki Status Tunang
SEKITAR Januari lalu, timbul cerita kononnya pelakon Ayu Raudhah dikatakan akan bertunang dengan si jejaka bernama Mohd. Iznan Ibrahim atau popular dengan panggilan Pekin.
Mengenali hati budi masing-masing sejak enam tahun lalu, majlis pertunangan itu diperkata orang bakal dilaksanakan pada bulan Februari.
Sementelah, Ayu pernah berkata bahawa dirinya menerima dengan hati terbuka andai aktor terbabit adalah jodohnya.
Begitu juga dengan Pekin, dia turut mengakui selesa bersama Ayu serta sudah mengenali dengan lebih rapat akan keluarga pelakon berwajah manis itu.
Bagaimanapun, hari berganti hari, segala cerita mengenai majlis pertunangan itu senyap begitu sahaja.
Hal tersebut membuatkan ada yang membuat telahan bahawa kedua-dua mereka tidak serasi untuk bersatu sebagai suami isteri.
Ayu yang diajukan tentang perkara tersebut berkata, dirinya masih berkawan rapat dengan Pekin.
Kami jarang berjumpa. Ayu dan Pekin masing-masing sibuk dengan karier sendiri. Walaupun sibuk, kami sering berhubung.
“Ayu pun sudah lama tidak berlakon bersama-sama dengan Pekin.
Mengenai perancangan majlis pertunangan itu, Ayu rasa ramai keliru kerana pada Februari lepas sebenarnya kakak Ayu yang berkahwin,’’ katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak duta produk Giena Skincare di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Ujar pelakon berusia 24 tahun itu, sebagai wanita, dia sememangnya mahukan seorang lelaki sebagai suami di hatinya.
Kalau ikutkan perancangan, Ayu memang hendak berkahwin ketika usia 21 tahun, tapi dalam keadaan sekarang mungkin pada usia 25 tahun agaknya,’’ jelas Ayu tersenyum.
Ditanya tentang siapakah lelaki pilihan hatinya, Ayu menjelaskan bahawa lelaki berkenaan sudah tentu perlu memahami hati dan perasaannya.
Asalkan dia baik dan ikhlas serta memahami karier Ayu sebagai pelakon, itulah lelaki pilihan Ayu.
Ayu juga tidak suka orang mencadangkan lelaki itu atau lelaki ini untuk berkenalan rapat dengan Ayu,’’ katanya.
Menurut pelakon yang popular menerusi drama bersiri Manjalara ini, dalam hidup bersosial, dirinya mengakui agak sukar untuk didekati.
Adakalanya Ayu terpaksa ‘mematikan’ telefon bimbit dan tidak akan melayan jika tidak mengenali siapa yang menghubungi Ayu,” jelasnya.
Duta produk kecantikan
Sementara itu, bercakap mengenai pelantikannya sebagai produk Giena Skincare keluaran Beauty Arena Sdn. Bhd., Ayu memberitahu dia amat menyukai produk kecantikan yang dihasilkan oleh syarikat berkenaan.
Dilantik sebagai duta selama setahun, Giena Skincare yang diasaskan oleh Nor Azizan Ghazali membuatkan kulit wajahnya menjadi sekata serta kurang berjerawat.
Ia sangat semulajadi dengan haruman bunga-bungaan. Selaku duta, Ayu akan menjadi jurucakap produk terbabit dan akan mengikuti segala aktiviti promosi produk.
Ayu bukanlah tercari-cari untuk menjadi duta produk tetapi ini ditawarkan sendiri oleh pemilik Beauty Arena, Nor Azizan.
Dia pelawa Ayu sejak tahun lepas lagi. Waktu itu, memang Ayu mencari produk kecantikan untuk wajah kerana Ayu sibuk dengan lakonan,’’ katanya.
Dalam pada itu, Nor Azizan berkata, pelantikan Ayu dilakukan memandangkan pelakon itu sedang meningkat naik namanya di persada seni tanah air.
Dia seorang yang berdisiplin, manja dan lemah lembut. Kita telah menawarkan perkhidmatan rawatan muka dan urutan badan untuk Ayu mengurangkan tekanan kerja,’’
ujarnya.
Karier
Panjang berbicara soal kecantikan, Ayu yang diajak bercerita tentang kariernya berkata, saat ini dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie berjudul Kasih Alam di sebuah perkampungan orang asli di Raub, Pahang.
Bakal ditayangkan di TV2, penggambaran selama dua hari itu memberikan pengalaman baru dalam hidup Ayu dalam menyelami kehidupan orang asli.
Selain Kasih Alam, Ayu juga terlibat dengan penggambaran drama episod berjudul Lara yang dijalankan di Kemboja.
Dua minggu Ayu di Kemboja. Ayu melakonkan watak wanita Kemboja. Terpaksalah belajar bahasa masyarakat di sana.
Penggambaran dilakukan di sebuah perkampungan orang Melayu di sana. Ada yang boleh bercakap bahasa Melayu tetapi dalam loghat Kemboja.
Selain itu, Ayu turut menjalani penggambaran sebuah drama bersiri Nur Kasih. Ayu terlibat dalam lakonan di Tanah Suci Mekah,’’ tambahnya.
Labels:
Artis Malaysia,
Ayu Raudhah,
Celebrity News,
Cerita Artis,
gossip