April 16, 2009

(ABPBH 2008) Cerita Di Sebalik Ketiadaan Dynaz - Keguguran Anak


Berita kejayaan sebagai Pelakon TV Wanita Popular kali kedua berturut-turut mengurangkan perasaan sedih

APABILA Zizie Ezzete dan Nora Danish tersenyum lebar mengumumkan Dynas sebagai Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008), semua mata tertumpu kepada tempat duduk finalis anugerah ini.

Selang beberapa saat, selepas pasti pelakon ini tidak berada dalam Arena of Stars Genting, Zizie akhirnya mengambil trofi itu bagi pihak Dynas. Walaupun acara diteruskan, pastinya ada segelintir penonton tertanya-tanya kenapa Dynas tidak muncul dalam anugerah yang penuh berprestij ini.


Sekurang-kurangnya apabila Norkhiriah tidak muncul untuk menerima trofi Pelakon Komedi Wanita Popular, dia sempat meninggalkan pesanan kepada Sharifah Shahirah untuk memaklumkan dirinya menghadapi alahan atau morning sickness kerana baru disahkan hamil sehari sebelum acara kemuncak ABPBH 2008 berlangsung.

Apa yang pasti ketiadaan Dynas pada ABPBH 2008 memang menjadi tanda tanya kerana beberapa hari sebelum itu, suaminya Mohd Hafizy Hafiz sudah pun mengesahkan isterinya akan hadir untuk memberi sokongan.

Malahan untuk tujuan itu, Dynas sudah bersetuju menggunakan khidmat pereka fesyen, Nik Erwan Roseli. Hip juga pernah mengadakan sesi fotografi membabitkan perbincangan pelakon dan pereka fesyen itu pada 1 April lalu di butik miliknya bersama Awal Ashaari iaitu DnA Celebrity Style di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Ketika itu, dia begitu teruja untuk hadir memberikan sokongan biarpun sarat mengandung tujuh bulan dan memuji hasil kreativiti pereka muda itu.

Tapi, siapa sangka di saat dia sedang menanti khabar gembira untuk bergelar ibu, ada berita duka yang ingin dikongsi pelakon yang menjawab kepada persoalan mengenai ketiadaannya pada malam Ahad lalu.