Nama saya Bob. Saya ada satu pengalaman yang ringkas, terjadi 12 tahun
yang lalu. Waktu itu saya berumur 25 tahun. Waktu bujang lagi dan tiada
siapa yang nak halang ke mana saya pergi. Saya selalu lepak bersama
kawan-kawan yang sekepala dengan saya. Salah seorang kawan saya
mempunyai lori sendiri. Kadangkala bersama tiga orang kawan yang lain,
kami suka bersiar-siar sehingga lewat malam.
Pada suatu malam, kami bercadang hendak lepak di pantai Changi. Sebelum
itu kami pergi mengambil dua orang kawan perempuan yang hendak turut
serta. Selepas menjemput mereka kami pun bergerak menuju ke kawasan
pantai Changi. Sampai di sana, setelah meletak lori di kawasan meletak
kereta yang paling hujung, kami pun berjalan menuju ke tempat duduk di
tepi pantai. Waktu itu tiada orang di kawasan itu, maklumlah sudah jam
1:30 pagi. Pada hari biasa mana ada orang yang hendak merayap kecuali
yang degil macam kami?
Sambil kami duduk, berbual dan bergurau tiba-tiba salah seorang kawan
perempuan yang bernama Lin bertanya pada saya, "Eh kau pakai minyak
wangi apa eh? Wangi betul..." Saya terdiam sekejap kerana saya tidak
suka menyembur minyak wangi kerana hidung yang sensitif. Saya pun
menjawab, "Mana aku ada pakai minyak wangi? Kau ni dah mengantuk ke?"
Yang lain ketawa bila saya jawab dengan selamba. Kami teruskan berbual.
Selang sepuluh minit kemudian, Lin bertanya soalan yang sama. Kali ini
saya dah rasa yang ada benda yang tak kena.
Terus kawan saya yang memandu lori yang bernama Shah mengajak kami
beredar dari situ dengan alasan perutnya lapar. Padahal sebelum
menjemput kawan perempuan kami tadi saya dan Shah pergi makan terlebih
dahulu. Dalam perjalanan balik ke lori, Shah menarik saya ke belakang
supaya yang lain berjalan di hadapan dahulu.
Sedang saya dan Shah berjalan dia bertanya pada saya, "Kau tahu tak
kenapa Lin tanya kau?" Saya menggelengkan kepala. Shah sambung, "Sebab
di sebelah kau ada 'kakak cantik' sedang berdiri tengokkan kau. Sebab
itu aku ajak kita beredar..." Saya terdiam seketika. Kawan saya Shah ni
memang mempunyai kebolehan melihat dalam perkara ghaib ni. Wallahu'alam
Bissawab...
Jika Dah Baca ClickLah Like @ Share !!
Follow @zoomartis