Persembahan mengasyikkan daripada penyanyi popular berasal dari Lubnan, Nawal Al-Zoghbi memukau lebih 3,000 penonton yang datang menyaksikan konsert Nawal Al-Zaghi Live in Malaysia 2010 buat julung kalinya di Malaysia, Isnin.
Wanita berusia, 38 tahun ini mendapat tepukan gemuruh apabila keluar ke pentas dan membawakan lagu-lagu hit dari 13 buah albumnya dengan diiringi 13 pemuzik profesional yang didatangkan khas dari Lubnan.
Penyanyi yang sudah bertapak selama 20 tahun dalam industri hiburan ini pernah menerima pelbagai pengiktirafan dan dia mula dikenali selepas menyertai pertandingan nyanyian, Studio El Fann pada tahun 1988.
Konsert daripada artis tersohor Arab ini mula mengegarkan Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) tepat pukul 9.00 malam dan berakhir kira-kira pukul 11 malam.
Konsert 90 minit ini dibuka dengan persembahan artis popular tanah air iaitu Faizal tahir yang membawakan lagu hitnya, Bencinta dan Selamat Malam.