Mac 26, 2010

Jehan Dicalon Sebagai Mat Romeo

Nama aktor Jehan Miskin telah disebut-sebut untuk memenangi kategori Artis Mat Romeo dalam majlis anugerah Parti HIP TV anjuran TV9. Namun begitu, dia tidak merasakan gelaran itu layak untuk diberikan kepadanya berbanding pesaingnya yang lain.
“Saya rasa tak cukup romeo dan hanya tergelak apabila mendengar nama saya tercalon. Sebelum itu lagi saya sudah berasa lucu apabila mereka suruh ambil gambar untuk kategori Mat Maskulin atau Mat Romeo,” kata Jehan mengenai reaksinya berhubung pencalonan itu ketika sidang media Parti HIP TV di Sunway Pyramid, semalam.
Istilah mat romeo biasanya ditujukan kepada lelaki yang gemar memikat wanita atau bertukar-tukar teman wanita. Namun, berlainan pula dengan Jehan yang menganggap romeo sesuai digelar kepada lelaki yang agak baik dan beradab tertib dengan wanita.
“Di Malaysia, ramai yang menganggap gelaran romeo itu berkonotasi negatif tetapi bagi saya, untuk Parti HIP TV ini tiada yang negatif kerana gelaran itu hanya untuk suka-suka,” beritahunya lagi.
Tambahnya, mungkin orang merasakan gelaran mat romeo sesuai untuknya kerana dia banyak kali melakonkan watak lelaki playboy dan cerita cinta. Selain Jehan, empat nama lagi yang turut bertanding adalah pelakon Hans Isaac, Norman Hakim, Zed Zaidi dan Remy Ishak. Semua keputusan termasuk sembilan kategori lain seperti Artis Kiut Miut, Artis Bibir Seksi dan Artis Tak Harap Pada Muka akan diumumkan pada Khamis ini di Kelab Shah Alam.