Bakal bersiaran dua episod pada 21 November dan 5 Disember 2009 (Sabtu) kelak jam 10.31 pagi di TV1, band remaja dianggotai Adi Priyo (vokal), Wan (dram), Gjie (gitar utama), Ayoy (pemain bass) dan Athan (pemain gitar kedua) ini menjanjikan percutian yang menarik untuk dikongsi sama peminat setia yang ingin berkenalan dengan lebih dekat lagi dengan mereka. Ianya direalisasikan menerusi program traveloge popular Xpresi Kembara terbitan Unit Ehwal Awam RTM.
Cukup menarik kerana menerusi siaran episod pertama, penonton yang menyaksikan program ini berpeluang dibawa berkunjung ke perkampungan Orang Iban Lemanak. Siapakah Orang Lemanak? Bagaimanakah kehidupan seharian Orang Lemanak? Persoalan ini akan terjawab apabila kelima-lima anak muda yang pernah menyandang Anugerah Lagu Paling Popular menerusi lagu bertajuk Tanpa pada Pertandingan Hits 1 Akhir tahun lalu meluangkan masa sepanjang 3 hari 2 malam di sana.
Baca Selanjutnya
Pastinya kenangan manis ingin dikongsi sama dengan peminat apatahlagi inilah pengalaman pertama kalangan mereka belajar cara berburu di hutan, mandi sungai di perkampungan Orang Iban, belajar menyumpit dan menaiki bot panjang menyusuri sungai Sarawak. Turut dikongsi sama saat-saat keterujaan masing-masing memasak nasi menggunakan buluh yang sememangnya biasa diamalkan apabila berada di hutan. Kesempatan yang ada digunakan juga si pelantun vokal, Adi yang berasal dari Jember, Indonesia ini menghiburkan kaum etnik ini mempersembahkan lagu popular mereka secara akustik.
Aktiviti kembara mereka turut singgah melawat orang utan dan mendekatkan hubungan dengan mereka di Pusat Hidupan Liar Semenggoh sebelum mengunjungi Gua Angin dan Gua Pari-Pari yang menjadi tarikan pelancongan semulajadi selain kembara menyusuri dua gua yang istimewa ini.
Kesinambungan momen-momen indah berada di negeri yang terkenal dengan kampung budayanya itu diteruskan mereka dengan berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak termasuklah melawat kesemua jenis rumah panjang kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan banyak lagi untuk mengenali dengan lebih dekat lagi suku kaum mereka yang sememangnya unik dan mengagumkan. Kelima-lima mereka juga seronok dihidangkan makanan tradisional suku kaum masyarakat di Sarawak seperti ikan tahai yang pastinya sukar didapati di Semenjung Malaysia.
Sudah nama pun pemuzik, 6ixth Sense mengambil kesempatan bertukar pandangan dan idea dengan pemuzik tradisional Sarawak dan mereka berkolaburasi menyanyikan lagu-lagu 6ixth Sense dengan diriingi alatan muzik tradisional Sarawak seperti Jantung Lutang, Engkurong dan Sape.
Aktiviti berkayak sepanjang sungai Sarawak diteruskan mereka sambil menikmati pemandangan alam semulajadi yang dapat dijadikan kenangan manis apabila menyaksikan sendiri monyet-monyet, batu-batu kapur dan juga aktiviti dilakukan masyarakat yang tinggal di hutan persisiran sungai Sarawak. Malah River Cruise di Sarawak Waterfront turut menyaksikan mereka sempat merakamkan klip video Khatimah Cinta yang sedang popular dan menduduki carta lagu di Malaysia masa kini.