Zizie Izette akan pulang ke Johor pada raya tahun ini
HARI RAYA bakal menjelang tiba beberapa hari sahaja lagi, pastinya seluruh umat Islam sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut hari yang mulia ini.
Tidak terkecuali juga bagi pelakon jelita, Zizie Izette Abdul Samad, 31, yang akan menyambutnya dengan meriah pada tahun ini kerana bagi Zizie, Syawal hanya tiba setahun sekali dan kita seharusnya meraikan hari yang mulia ini.
Zizie Izette akan pulang ke Johor pada raya tahun ini dan menziarah sanak saudara di sana. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Zizie ketika dihubungi mStar Online semalam mengatakan, dia amat bersyukur kerana dapat berkumpul dengan seluruh keluarganya pada hari raya tahun ini dan mereka akan bertolak pulang ke kampung secara konvoi beramai-ramai.
"Alhamdulillah, raya tahun ini saya dapat berkumpul bersama seluruh ahli keluarga dan kami akan balik ke kampung di Johor secara konvoi beramai-ramai... Saya akan beraya di kampung sampai raya ketiga.
"Tahun ini pun alhamdulillah rezeki yang ada agak baik... jadi kami akan bahagikan kepada sanak saudara di sana nanti juga.
"Kalau duit raya tu, mereka akan dapat lebih jika dibandingkan tahun lepas... lagipun bukan selalu kita dapat balik kampung jumpa sanak saudara semua, jadi bagi saya ini satu perkara yang baik untuk buat mereka rasa gembira," kata Zizie yang merupakan kakak kepada pelakon Shaheizy Sam.
Zizie yang akan bertolak pulang ke kampung pada malam raya nanti turut mengatakan dia telah menempah 10 pasang baju raya tahun ini berbanding 6 pasang pada tahun lepas. Bagi Zizie, bukanlah niatnya untuk membazir atau menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar mahu meraikan hari raya yang tiba.
"Tahun ini saya agak terlebih sikit, saya telah tempah 10 pasang baju raya berbanding 6 pasang sahaja pada tahun lepas. Saya ni berjiwa budak-budak juga... bila nak sambut raya saya 'excited' sangat...
"Tetapi bukan niat saya untuk membazir atau menunjuk-nunjuk sampai saya tempah 10 pasang baju raya, cuma tahun ini rezeki lebih sikit, jadi saya tempah banyak.
"Tujuan saya tempah banyak juga sebenarnya adalah untuk digunakan sepanjang tahun, kadang-kadang saya banyak terima undangan berbuka puasa dan rumah terbuka, jadi mestilah saya nak pakai baju lain-lain, kalau pakai yang sama setiap majlis tak seronok nanti," katanya sambil ketawa.
Zoom Komen : HUh sampai sepuluh baju raya banyak nyer...!!! tak per duit banyak tawaran berlakon sana sini ada..Iklan zoom nampak kurang sikit si zizie ni..Apa pun selamat Menyambut Hari Raya Berhati-hati di jalan raya, Jangan Lupa Services kereta !!