Jun 02, 2009

(Hollywood News) Shu Qi pernah rasa terhina


Shu Qi atau nama sebenarnya Lin Li Hui boleh diiktiraf antara pelakon luar yang berjaya dan dikenali di Hollywood di samping beberapa nama seperti Jacky Chan, Jet Li dan Datuk Michelle Yeoh.

Gadis yang dilahirkan di Bandar Sindian, Taiwan sebelum berpindah ke Hong Kong pada usia 17 tahun untuk mengejar cita-cita dalam bidang peragawati. Langkah berani Shu Qi beraksi seksi terpampang di majalah popular Hong Kong menarik perhatian penerbit Manfred Wong mendapatkan khidmatnya untuk filem Sex & Zen II.

Dalam satu temu bual di laman web rasminya, Shu Qi menyifatkan bukan mudah untuk mencapai impian berjaya dalam bidang seni seterusnya berada di tahap itu. Banyak ujian yang perlu ditempuhinya.

"Sebelum ini saya pernah berasa dihina untuk berada pada tahap ini. Saya tidak peduli apa orang kata. Kritikan menjadikan saya lebih kuat untuk berjaya dalam bidang diceburi. Apa yang lebih penting, saya sudah melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan baik dan memenuhi kehendak pengarah.

"Pada saya setiap apa jua perkara perlu dilakukan bersungguh-sungguh jika mahu berjaya dalam bidang diceburi," kata Shu Qi yang dinamakan antara sembilan teratas dalam ranking Wanita Cina Tercantik mengikut bancian majalah Marck Ecko's Complex.com.

Memulakan kerjaya lakonan apabila membintangi filem Viva Erotica sekitar 1996. Dia digandingkan bersama Leslie Cheung and Karen Morris.