Jun 22, 2009

(Celebrity News ) Yuna mahu bawa muzik ke luar ?


Penyanyi lagu Dan Sebenarnya, Yuna percaya penggiat seni sekarang mempunyai cita rasa yang boleh diketengahkan kepada peminat muzik di luar. Lagu-lagu anak tempatan boleh dipasarkan ke luar negara kalau kena caranya.

Malah itulah antara cita-cita Yuna. Dia mahu membawa muzik ciptaannya ke luar negara suatu hari nanti. Yuna tidak mahu usaha yang dilakukan berdasarkan minat tinggi dalam bidang muzik ini terhenti begitu sahaja.

"Saya dapat lihat pemuzik sekarang yang sama umur dan muda daripada saya sudah pandai mengeksperimen muzik. Saya yakin muzik yang ada ini sama baiknya dengan apa yang ada di luar sana," kata Yuna yang sekarang semakin popular walaupun berbekalkan sebuah lagu sahaja.

Yuna juga berharap pemuzik baru yang ada sekarang dapat sokongan banyak pihak dan saling menyokong di antara satu sama lain. Ia demi meningkatkan muzik kita.

Walaupun kelihatan Yuna mudah sahaja mencipta nama, namun baginya semua itu berkat kerja keras yang dilakukannya.

"Untuk berjaya kita kena kerja keras dan sentiasa berdoa kepada Allah dan percaya kepada diri sendiri," kata Yuna.

Yuna kini menghiasi muka depan majalah Remix edisi terbaru. Banyak Yuna kongsi rahsia kejayaan dan cita-citanya dalam bidang muzik untuk tatapan peminat. Ada juga cerita cinta Yuna.