ASSALAMUALAIKUM,
Saya amat meminati rancangan realiti Akademi Fantasia (AF) sejak musim pertama lagi. Melaluinya saya dapati, rakyat Malaysia semakin hari kian pandai menilai bakat seseorang insan seni.
Aril adalah salah seorang pelajar AF musim ini yang berbakat tetapi telah tersingkir pada konsert mingguan yang lepas. Pada saya Aril memang wajar disingkirkan sejak awal lagi kerana sikapnya yang agak kurang sopan serta berlagak hebat.
Kononnya pro dalam semua aspek telah membuatkan kami sebagai peminat setia AF meluat apabila menonton rancangan tersebut.
Semua tahu dia adalah adik kepada penyanyi popular negara kita iaitu Izwan Pilus namun Aril tidak boleh menggunakan identiti abangnya untuk menarik perhatian umum.
Sikap Aril yang semakin hari semakin over memang wajar ditegur dan perlu diubah kerana dia seolah-olah tidak sedar diri.
Saya sendiri tidak tahu mengapa dia berkelakuan kebudak-budakan yang nampak sangat mahu meraih undian penonton.
Mungkin kerana wajahnya yang dikatakan comel kononnya boleh membeli undian simpati penonton namun seribu kali silap kerana penonton masih tidak buta seni dalam menilai bakat seseorang peserta.
Saya berharap agar Aril menyedari hakikat bahawa dia baru lagi dalam bidang seni ini dan fikirlah sejenak bahawa tanpa bakat, nama tidak akan naik.
NH Mohamad, Negeri Utara Tanah Air