Mei 28, 2009

(Gossip) Eshter OIAM Mangsa Keadaan ????



KETIKA juara One In A Million 3 (OIAM 3), Tomok atau Shah Inderawan Ismail sibuk dengan perjalanan seninya di bawah kendalian syarikat pengurusan Monkeybone, lain pula yang berlaku kepada finalis yang juga merupakan naib juara program realiti tv itu, Esther atau nama sebenarnya Elizabeth Applunius Chin.

Ada khabar angin yang mengatakan gadis kelahiran Sabah itu masih lagi terkapai-kapai dengan kariernya. Malah, sejak tamat OIAM 3, Esther belum pernah lagi melakukan sebarang persembahan pentas.

Dia juga dikatakan terpaksa menandatangani kontrak di bawah syarikat Monkeybone selama enam tahun dengan hanya menggunakan sebuah single baru yang telah pun dinyanyikan Esther pada malam final OIAM3.

Lebih menyukarkan pergerakan gadis ini, dia harus berdepan dengan prosedur untuk tidak mengambil sebarang undangan nyanyian luar yang di luar bidang kuasa Monkeybone dan stesen 8TV.

Disebabkan masalah yang sama juga, peserta tempat ketiga OIAM 3, Aweera membuat keputusan bergerak sendiri tanpa bantuan Monkeybone.

Bertanyakan tentang hal tersebut kepada Esther, dia terdiam seketika. Seperti mahu menyusun kata-katanya agar tidak mengecilkan hati sesiapa.

"Saya pun tak tahu bagaimana nak cakap sebab perkara ini masih belum jelas lagi.

"Buat masa ini saya tidak menandatangani sebarang kontrak kerana masih keliru dengan isi kandungannya sebab ada beberapa perkara yang saya tidak berpuas hati dengan syarat-syarat yang diberikan.

"Rasa seperti terkejut bila membaca kontrak itu, dengan hanya mempunyai sebuah single, saya kena ikat kontrak selama enam tahun. Dan kontrak itu saya terima sebelum final OIAM 3 lagi.

"Tapi setakat ini memang saya kurang faham dengan isi kontrak berkenaan dan saya perlu merujuk pada keluarga saya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kontrak itu berkaitan dengan lagu single baru yang saya nyanyikan pada konsert final itu. Yang peliknya, saya belum tandatangan kontrak apa-apa lagi, tapi sudahpun dijual, macam mana?" ujarnya.

Tambah Esther, belum sempat lagi menandatangani kontrak tersebut, kontrak baru pula yang muncul.

"Kontrak itu diubah dari enam tahun kepada enam bulan pula. Jika saya 'tidak laku' di pasaran, kontrak itu mungkin akan terhenti setakat itu sahaja," ujarnya dengan nada buntu.

Selain itu, ketika membuat perbincangan mengenai konsep album pula, pendapat Esther seperti tidak mahu diterima.

Cadangan yang diberikan Esther untuk menampilkan konsep muzik soulful pop bagaimanapun dikatakan tidak sekata dengan trend muzik tempatan kini.

"Saya mahu membuat lagu jenis muzik Amy Winehouse tetapi diberi sedikit elemen tempatan kerana rentak jenis itu masih belum ada lagi di Malaysia.

"Tetapi mereka seperti kurang yakin dengan apa yang saya mahukan. Pihak TV8 mengatakan album saya tidak akan laku jika membawakan muzik seperti ini.

"Sepatutnya kita perlu mencuba sesuatu yang baru. Saya dapat lihat yang mereka tidak berpuas hati dengan cadangan saya. Mereka pun tidak beritahu saya pun konsep yang bagaimana mereka inginkan," tuturnya.

Buat persembahan tanpa dibayar

Berhijrah ke kota metropolitan yang segala-galanya perlukan wang dalam setiap pergerakan, membuatkan gadis ini terpaksa menerima keadaan susah demi cintanya pada muzik.