Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my
SEJAK pelakon berbadan kecil molek ini mengambil keputusan untuk menceburi bidang nyanyian, pelbagai kata-kata negatif dilemparkan terhadap dirinya.
Memiliki suara sumbang, tidak boleh menyanyi secara live dan syok sendiri - itu antara kenyataan yang terpacul dari mulut-mulut yang seakan tidak dapat menerima kehadirannya di pentas nyanyian.
Bukan itu sahaja, malah ada yang menyarankan agar si gadis berusia 21 tahun ini memberi fokus kepada bidang lakonan yang dilihat lebih menyerlahkan kekuatan serta popularitinya.
Berilah apa sahaja watak, dia tetap mampu melakonkan dengan baik seperti watak pelajar psiko yang dilakonkannya menerusi filem Histeria.
Begitu juga dengan lakonannya menerusi filem Castello serta Syaitan.
Namun begitu, di sebalik kritikan demi kritikan yang diterima saban hari, pemilik diri bernama Liyana Jasmay ini enggan mengaku kalah atau berlagu duka.
Baginya, semua kritikan tersebut adalah lumrah kehidupan yang tidak boleh tidak, akan tetap hinggap dalam kehidupannya sebagai insan seni.
"Saya ceburi bidang nyanyian pun adalah untuk mengembangkan bakat. Memanglah saya masih baru.
"Saya tahu ada yang tidak suka tetapi tanpa disedari, ada juga yang menyukai saya menjadi penyanyi.
"Awal-awal memanglah sumbang sana sini sebab saya masih di tahap bawah. Sebagai orang baru, sudah tentu ada yang tidak sempurna,'' katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Hits di studio Utusan baru-baru ini.
Ujar Liyana, sejak single pertamanya Aku Tak Percaya Cinta mula berkumandang di corong-corong radio, dia sudah menjangkakan akan menerima palitan-palitan negatif daripada khalayak peminat seni tempatan.
Namun, jelasnya, sebelum tanggapan buruk itu mula mendatang, dia sudah pun bersedia daripada segi mental dan fizikal.
"Sebagai manusia biasa, memanglah saya merasa hampa dengan kritikan berkenaan.
"Nasib baik saya mendapat sokongan padu daripada keluarga dan peminat. Abang Ajai dan AG Coco pun ada beri semangat.
"Walaupun hampa, saya terima kritikan itu dengan baik. Mana yang teruk, akan saya perbaiki,'' katanya dalam nada sedih.
Menurut Liyana, sebagai artis, mengembangkan bakat adalah perlu bagi membolehkannya dipandang sebagai artis serba boleh.
"Kalau penyanyi boleh jadi pelakon, apa salahnya pelakon pun sama-sama ikut rentak dengan ceburi bidang nyanyian.
"Saya selalu jadikan Bunga Citra Lestari dan Acha Septriasa sebagai contoh. Mereka boleh berlakon dan menyanyi.
"Datuk Siti Nurhaliza juga menjadi ikutan saya. Walaupun sehingga kini beliau masih menerima kritikan, beliau tetap gagah meneruskan perjuangan dalam bidang seni,'' jelas Liyana.
Katanya, 'melayan' secara mendalam akan kritikan negatif ada kalanya mampu membuatkan seseorang artis itu 'lumpuh' untuk meneruskan perjuangan.
"Untuk itu, saya kena berani dan kuat. Kalau ikutkan sangat, sampai bila saya tidak akan ke mana-mana,'' tegasnya.
Baru-baru ini, Liyana muncul dengan album mininya yang berkonsepkan pop dan mengandungi lima buah lagu.
Tiga lagu dicipta oleh Ajai iaitu Aku Jatuh Cinta, Kejam dan Aku Tak Percaya Cinta manakala dua buah lagi iaitu Pelik dan Penyelamat Cinta, masing-masing ciptaan AG Coco serta Aizat.
Gedik dan 'mengada-ngada'
Sementara itu, selain kritikan yang menjurus kepada vokal dan persembahannya dalam nyanyian, Liyana turut menjawab tuduhan yang melabelkan dirinya semakin gedik serta mengada-ngada.
Pantas mematahkan tuduhan itu, Liyana berkata, tuduhan itu sedikit sebanyak membuatkan dia berada dalam keadaan serba salah.
"Saya bukannya gedik tetapi manja. Entahlah, kalau saya buat bising sikit, orang kata saya gedik.
"Kalau terlalu senyap pula, orang kata saya seorang yang sombong.
"Langkah paling baik, biarlah apa orang hendak kata. Yang penting, saya tahu siapa diri saya. Hati kena ikhlas dan tidak bermuka-muka atau berwajah plastik,'' katanya.
Perkembangan karier
Menukar topik, Liyana yang diajukan soalan tentang perkembangan karier berkata, tiga buah filem lakonannya iaitu Papadom, Duhai Si Pari-Pari dan Pisau Cukur berkemungkinan akan ditayangkan pada tahun ini.
Selain itu, Liyana juga akan terlibat dengan penggambaran filem berjudul Niang Rapik serta drama bersiri Zati Dan Si Nawas.
"Niang Rapik diangkat menjadi filem daripada drama siri, ekoran sambutan baik yang diterima daripada penonton di TV3.
"Setakat ini, saya masih belum tahu watak yang akan diberikan,'' katanya.
Mengenai filem Merempuh Karma yang dikatakan 'sunyi' daripada sebarang berita terkini, Liyana menjelaskan, dia sendiri tidak tahu menahu akan status filem berkenaan.
"Kalau tidak jadi, sudah tentu saya merasa ralat dan kecewa. Ini kerana, selain saya, ia membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Ahmad Yatim, Sidi Oraza, Fauziah Nawi dan Rosyam Nor,'' tambahnya.