Mei 21, 2009

Celebrities News : Keajaiban sentuhan Search


GIMIK pancaran laser dari tempat duduk utama menuju ke tengah pentas yang menghasilkan satu letupan kuat bagaikan memberi isyarat bahawa malam gemilang bermula pada Konsert Penghargaan Search di Awan Biru di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Ditambahkan pula semburan api di keliling hadapan pentas, ibarat satu keajaiban. Suasana malam di dalam Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berubah menjadi begitu luar biasa.

Tampil dengan pakaian kasual iaitu baju-T dan jeans lusuh, tanpa berlengah Search yang dianggotai oleh Amy, Yazit, Hillary, Nordin dan Nasir pantas menghidupkan klimaks konsert menerusi lagu Paranoid.

Persembahan yang bermula pukul 9.30 malam itu menyaksikan lebih 9,000 penonton sanggup meredah suasana padat dan bersesak serta terpaksa berdiri di ruang bawah hadapan pentas lebih daripada dua jam.

Himpunan 21 buah lagu termasuk dua medley yang dinyanyikan oleh Amy dengan kekuatan vokalnya bagaikan mengundang histeria kepada para penonton.

Para penonton bagaikan hanyut dibuai melodi lagu-lagu yang disampaikan menerusi lagu-lagu seperti Isabella, Laila Namamu Teratas, Fenomena, Gadisku dan Fantasia Bulan Madu.

Bijak mengawal mood penonton, Amy menghangatkan malam dengan lagu-lagu popular lain seperti Pawana, Isi dan Kulit, Langit Dan Bumi, Pelesit Kota, Diari Habil Qabil, Gothic Malam Edan dan Melastik Ke Langit yang membuatkan penonton rancak menari sambil menggoyangkan kepala.

Seterusnya lagu Mat Rock mengucapkan selamat tinggal buat penonton untuk dikenang sebagai memori paling indah malam itu.

Menarik untuk diperkatakan, semua aspek berkaitan konsert anjuran Celcom (Malaysia) Bhd. itu 'memang menjadi' dan segalanya bersatu hingga menghasilkan kepuasan sehingga ke tahap maksimum.

Paling ketara, persembahan muzik yang berjaya menaikkan semangat dan dibantu pula dengan vokal konsisten Amy, penonton dihidangkan dengan persembahan yang penuh bertenaga dan mempesonakan.

Selama lebih dua jam, penonton yang terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat terpaku dalam sebuah persembahan yang amat ditunggu-tunggu bagi peminat irama keras itu.

Apa yang mengagumkan, Amy yang berusia 51 tahun itu masih mampu mempamerkan kekuatan vokalnya sepanjang konsert yang berlangsung tanpa henti itu dan hanya sesekali berceloteh di atas pentas.

Ketika ditemui selepas konsert, Amy yang bakal menimang anak kelima pada September depan berkata, rahsia mengekalkan persembahan yang bertenaga pada konsert kerana Search mengamalkan gaya hidup sihat.

"Konsert besar seperti ini memerlukan persediaan mental dan fizikal yang rapi. Apa yang penting, kami memastikan pemakanan dan tidur yang cukup bagi menjaga stamina baik.

"Pada masa sama, faktor kehadiran penonton yang ramai turut membantu meningkatkan semangat kami kerana sambutan peminat di Johor Bahru lebih hebat daripada konsert pertama di Butterworth dua minggu lalu," katanya yang berasal dari Kampung Bakar Batu, Johor.

Menurut Amy, dia turut gembira apabila ibu tersayang, Fatimah Idris hadir menyaksikan persembahan lantas menjadikan konsert itu lebih bermakna bagi dirinya.

Secara keseluruhan, tamat menyaksikan konsert tersebut, Search membuktikan mereka tidak perlu gentar dengan senario industri muzik negara hari ini yang dilanda ledakan daripada band indie.

Search sepatutnya ditabalkan sebagai kumpulan paling berpengaruh di Malaysia berdasarkan hampir keseluruhan persembahan mereka diiringi oleh nyanyian penonton.

Cuma sistem bunyinya yang kadangkala terlalu kuat sedikit mencacatkan, namun bukan satu kesalahan besar kerana pencahayaan yang menarik telah berjaya mengangkat konsert itu sebagai hampir sempurna di Johor Bahru untuk tahun ini.

Apa yang pasti, Search berjaya mengatasi kehebatan konsert Samsons dan Meet Uncle Hussain yang diadakan di venue sama bulan lalu.

Sementara itu, bagi peminat Search di negeri lain, konsert jelajah Search ke seluruh negara dijangka akan terus mengganas selepas membuka tirainya di Seberang Jaya, Pulau Pinang sebagai lokasi pertama pada 2 Mei lalu.

Harga-harga tiket untuk menyaksikan Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru di 11 lokasi adalah berharga RM35 dan RM55 kecuali di Kuala Lumpur yang mengenakan harga RM55 dan RM85.

Untuk keterangan lanjut mengenai pembelian tiket, sila layari laman sesawang www.tickethotline.com.my