STATUS pelakon cantik yang seorang ini sering kali menjadi tanda tanya. Bukan apa. Apabila diajukan soalan tentang statusnya, pelakon ini akan serta-merta menolak untuk menjawab dan dia lebih selesa memberikan senyuman sebagai balasan kepada pertanyaan itu.
Padahal dia sememangnya sudah lama mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang bukan dari kalangan artis dan gambar perkahwinan mereka juga pernah tersebar di Internet.
Malah, wajah mereka berdua sering juga tersiar di majalah apabila hadir pada majlis-majlis elit di ibu negara.
Lantaran itu, sudah terang lagi bersuluh pelakon ini sudah berkahwin kerana kerap keluar dengan lelaki yang sama.
Papa pun pelik juga kenapa dia berahsia sangat dengan statusnya itu. Takut peminat lari ke?
Tapi kalau asyik berahsia saja, bukankah ia akan membuatkan peminat merasakan mereka tertipu?
Bagaimanapun, akhirnya rahsia pelakon ini terbongkar juga apabila dia kini disahkan mengandung.
Mengandung? Biar betul!
Yang pasti itulah berita terbaru yang sampai ke telinga Papa.
Mahu atau tidak, aktres ini sudah tentu tidak ada sebab lagi untuk menafikan berita yang tentunya akan menjadi perhatian ramai.
Khabarnya juga, tidak lama lagi pelakon ini akan buat pengumuman mengenai kehadiran orang baru dalam hidupnya.
Molek sangatlah kerana sekurang-kurangnya pengumuman itu kelak akan mengelakkan masyarakat bercakap yang bukan-bukan pasal pelakon itu.
Apa pun, Papa doakan kebahagiaan yang berpanjangan untuk pelakon ini dan keluarganya.
Info : utusan 21/5/09