Mei 10, 2009
Artis Malaysia : Faezah tak layan godaan VIP
Raut wajah wanita ini akan berubah tatkala dia menguntum senyuman. Dari seorang yang kadangkala nampak garang wajahnya tiba-tiba bertukar lebih manis. Itulah istimewanya wanita yang bernama Faezah Elai, bintang yang sedang menyinar cahayanya pada waktu ini.
Bukan hendak mengampu tetapi saya lebih suka melihat dia tersenyum. Bagi saya, Faezah mempunyai daya penariknya tersendiri jika senyum lebar itu diukir. Pun begitu pada dasarnya Faezah atau nama sebenarnya Noorfaezah Elai Md. Elai ini memang seorang yang gemar ketawa.
Mungkin begitu sifatnya. Dek kerana itulah dia banyak mendapat peluang berlakon iklan-iklan televisyen. Walaupun dalam dunia seni nama Faezah tidaklah sehebat nama-nama seperti Julia Ziegler, Fara Fauzana ataupun Diana Danielle tetapi Faezah telah berlakon lebih sepuluh buah drama dan sebuah filem.
Malah dia juga tidak pernah terfikir untuk melibatkan diri secara serius dalam bidang ini. Tetapi itulah dinamakan rezeki. Hanya berhasrat untuk pergi ke uji bakat filem Otai, akhirnya Faezah di terima berlakon filem itu.
Walaupun wataknya bukan utama, tetapi syukurlah dia lulus untuk menjadi pelakon. Itu cerita dua tahun lalu tetapi hari ini Faezah berjaya membawa namanya untuk bersaing dengan artis-artis yang semakin berlambak ketika ini.
Tetapi jika diberi pilihan sama ada untuk berlakon drama atau iklan, terus dia berkata dia lebih senang menjadi pelakon model iklan.
Bukan berlagak tetapi lebih mudah. Berlakon drama atau filem memerlukan banyak pengorbanan dan tuntutan masa.
Kalau berlakon iklan, dalam sehari atau dua sudah boleh duduk senang. Boleh goyang kaki, tak payah nak pening kepala. Malah pendapatan berlakon iklan juga besar. Cukup kalau tak bekerja sebulan.
Bezanya berlakon drama kalau nak bayaran mahal, pengorbanan masanya juga mahal. Maknanya kalau ada pengambaran di luar, balik rumah pukul empat atau lima pagi adalah perkara biasa.
Tidak tamak
Biarpun tawaran berlakon buat Faezah datang mencurah-curah sekalipun dunia hiburan dilanda kegawatan tetapi wanita ini tidak tamak.
Yalah, tatkala pelakon-pelakon lain berlumba-lumba mencari duit dengan mengejar job sana sini, tetapi Faezah lebih suka mengenakan pendekatan lain iaitu memberi tumpuan kepada satu projek sahaja.
Bukannya apa, ada sesetengah pelakon belum habis penggambaran dengan sesebuah produksi, mereka sudah ada komitmen dengan syarikat drama lain. Sebagai contoh ada pelakon, dalam satu hari mereka boleh terlibat dengan penggambaran di tiga produksi yang berbeza.
Masalahnya nanti mereka tidak dapat memberikan tumpuan terhadap watak yang dibawa selain membantutkan penggambaran jika gagal memenuhi tuntutan waktu dengan baik.
Bagi Faezah sendiri dia tidak pernah mengajar dirinya untuk mengambil tawaran lain jika penggambarannya dengan sesebuah produksi yang ditandatanganinya itu belum tamat.
Ini kerana sifat Faezah sendiri dia mahu memberi tumpuan kepada sesebuah watak itu sepenuhnya selain tidak mahu keliru dengan karakter yang hendak dibawa.
“Kalau dalam satu-satu masa banyak sangat tawaran yang kita terima, dibimbangi kita tidak dapat bagi tumpuan dengan watak yang kita bawa.
“Sebagai contoh dengan produski A kita jadi orang gila, dengan produksi B kita berlakon anak orang kaya tetapi dalam produksi C kita kena banyak menangis.
“Kalau terlalu banyak watak, tentu sukar kita nak bagi tumpuan menyebabkan karakter kita akan bercelaru. Sebab itulah saya lebih gemar bagi tumpuan pada satu-satu produksi sahaja walaupun banyak tawaran yang saya dapat dalam satu-satu masa,” katanya.
Dalam masa yang sama kata Faezah dia tidak mahu menjadi buah mulut orang iaitu pelakon yang terlalu mengejar duit tetapi tidak boleh beri komitmen. Yang lebih penting ketika semakin ramai bakat-bakat baru merebut peluang dalam bidang seni, dia perlu memainkan peranan untuk menjaga hati penerbit-penerbit drama.
Kata Faezah jika rekod lakonan dan tanggungjawab yang diberikan disenangi oleh produser, tentu saja akan memudahkan dia untuk berlakon dengan mana-mana produksi pada masa akan datang.
Bercuti enam bulan
Pembabitan pertama Faezah dalam filem Otai arahan Razak Mohaideen pada tahun 2007 sebagai pelakon pembantu memberi satu kejutan.
Kata Faezah yang memegang watak Mawar dalam filem itu, dia terpaksa mengambil cuti selama enam bulan gara-gara dikritik. Bukan tidak boleh terima kritikan tetapi Faezah terkejut. Maklum saja dia tidak pernah berhadapan dengan situasi lakonannya mendapat kritikan apabila ramai yang berkata lakonannya tidak bermutu.
Gara-gara kejadian itu Faezah seakan-akan tidak berani keluar rumah dan mengambil kesempatan untuk berdiam diri seketika.
“Saya cuti selama enam bulan. Saya tolak semua tawaran berlakon. Saya kata teruk sangat ke lakonan saya dalam filem tu?
“Tapi akhirnya saya dapat semangat daripada kawan-kawan dan pelakon-pelakon lain. Dia orang kata biasalah kalau kena kritik. Lepas dengar nasihat tu baru saya boleh terima,” katanya.
Gara-gara kejadian itu Faezah akan mempertimbangkan dulu jika ada tawaran berlakon filem untuknya kerana tidak mahu kejadian sedemikian menimpa.
Apa yang penting ketika ini dia mahu mengasah bakatnya untuk menjadi pelakon terbaik dengan membintangi drama-drama tempatan terlebih dahulu.
Kena jaga mulut
Syukur mendapat keluarga yang memahami dan menyokong penuh kerjayanya dalam bidang seni, bekas pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini akan membuktikan suatu hari nanti dia akan menjadi pelakon terbaik.
Yang lebih penting ibu dan bapanya merestui hasratnya untuk serius menjadi seorang pelakon. Cuma ujar Faezah, ibunya awal-awal lagi sudah berpesan supaya jaga mulut.
Bukan kerana dia seorang artis bermulut jahat tetapi kadang-kala sifat Faezah sendiri yang gemar cakap lepas. Bercerita pengalaman diri, pernah terjadi dia terpaksa “menyerang” seseorang yang membawa cerita tak betul mengenai dirinya.
Yalah, kalau dah tak puas hati takkan nak duduk diam. Begitulah tindakan yang dilakukan oleh Faezah menyebabkan ibunya terpaksa memberi nasihat seperti itu.
“Kata ibu, saya kena jaga mulut. Saya ingat pesan dia. Tapi bayangkanlah kalau kita geram sangat, rasanya tak boleh nak simpan semuanya dalam hati. Sebab itulah terjadinya cakap lepas. Kalau ada yang terasa tu nasiblah. Yang penting saya tak kurang ajar cukuplah,” katanya.
Cerita VIP
Orang yang cantik macam wanita ini tentu saja menjadi buruan mereka yang berstatus VIP atau orang kenamaan. Tipulah kalau tak ada lelaki yang terliur melihat raut wajah dan liuk lintuk wanita ini.
Hakikat berkenaan diakui sendiri oleh Faezah tetapi dia mempunyai prinsip dan ketegasan diri.
Katanya, golongan VIP kalau tak dilayan, tidak akan menjadi. Selama ini terlalu ramai yang melayan menyebabkan perangai golongan itu semakin menjadi-jadi.
“Saya tak suka dengan godaan orang-orang kaya ni. Maaflah kalau ada yang berhasrat nak mendekati saya. Saya bukan orang yang cepat termakan ayat-ayat cinta mereka,” ujarnya.
Antara alasan dia tidak pernah digoda golongan berkenaan kerana Faezah tidak suka menghabiskan masanya di kelab-kelab hiburan ataupun menghadiri majlis-majlis tertentu.
Tabiatnya satu. Habis kerja atau tamat penggambaran drama, dia akan pulang ke rumah dan berehat bersama keluarga.
Malah kalau hujung-hujung minggu sekalipun Faezah jarang keluar rumah. Alasannya kalau dalam seminggu banyak masa dihabiskan di lokasi penggambaran, adalah baik pada waktu terluang itu dia duduk dirumah sahaja untuk berehat. Itu adalah jalan terbaik untuk mengelak berlakunya fitnah orang ataupun diusik pihak-pihak tertentu.
“Saya tak suka merayau. Duduk rumah adalah aktiviti terbaik yang saya lakukan jika ada masa terluang,” jelasnya mengakhir perbualan.
info : utusan 10/5/2009
Labels:
Artis Malaysia,
awek baru,
Gadis Malaysia,
gadis Melayu,
gossip,
Seksi,
seksi girls,
Sexy