April 22, 2009

SUDIRO - TABAH KETENTUAN ILAHI

MASIH ingatkah lagi dengan dramatis yang begitu sinonim dengan watak Tapa dalam siri popular Rumah Kedai yang pernah ditayangkan sepanjang Ramadan di TV3 tidak lama dahulu? ‘Tapa’ yang dulu berbadan gempal, kini sudah kurus dan cengkung. Inilah realiti yang terpaksa diterima setulusnya oleh ‘Tapa’ atau nama sebenarnya Sudiro Sukirman, 48, yang mengidap pelbagai jenis penyakit. Katanya, dia mula mengidap penyakit kencing manis ketika berkhidmat dengan TV3 sebagai Penolong Penerbit Bahagian Hiburan dari tahun 1995 hingga 2005.Sudiro juga pernah bertugas sebagai penulis skrip di Grand Brilliance Sdn. Bhd.

“Nasib baik sakit buah pinggang saya tak sampai tahap teruk lagi. Doktor kata, lagi dua peratus kalau tak jaga betul-betul memang kena dialisis," katanya yang perlu menyediakan RM1,000 setiap bulan untuk membiayai perubatannya.
Sudiro kini tinggal di Selayang, Kuala Lumpur bersama adiknya, Sumini Sukirman, 42. Kata Sudiro, dia terpaksa makan enam jenis ubat termasuk ubat jantung dari Institut Jantung Negara (IJN) yang bernilai RM250. “Kadang-kadang bila makan banyak sangat ubat, kulit pun mengelupas, mungkin sebab panas,” kata Sudiro yang mengakui berpantang makan makanan pedas dan juga ikan kembung.


Sudiro kini bertugas sebagai pengajar Teater Boneka di Universiti Malaya (UM) dan juga sering mendapat undangan membuat pertunjukan boneka di sekolah-sekolah. Selain itu, Sudiro juga menulis skrip untuk menampung perbelanjaan rawatannya. “Skrip terbaru saya ialah Bawang Kecil Bawang Besar,” kata Sudiro.