April 22, 2009
AZEAN PERLUKAN RM90,000
Sudah dua minggu aktres Azean Irdawaty selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada payudaranya dan aktres itu sudah disahkan semakin sihat, malah tidak sabar untuk bersama dengan karyawan lain ke Festival Filem Malaysia di Pulau Pinang awal Ogos nanti.
Apa pun, di sebalik senyuman riang Azean itu ‘tersembunyi’ sesuatu. Pelakon versatil berusia 57 tahun ini sebenarnya memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai kos rawatannya. Kos rawatan penyakit kanser memang agak tinggi. Kimoterapi saja, sebanyak RM42,000 diperlukan Azean bagi enam sesi rawatan yang dijalani di Hospital Pakar Damansara pada 18 Julai lalu.
Kos berkenaan belum termasuk rawatan radioterapi yang akan dilakukan di hospital di Nilai. “Selepas mengambil kira semua perkara saya memerlukan kira-kira RM90,000,’’ katanya dalam senyum yang gundah.
Bagaimanapun, setakat ini sebanyak RM33,000 berjaya dikumpulkan. Ia hasil sumbangan diperoleh Azean daripada saudara, rakan, persatuan dan pihak yang prihatin pada dirinya. Azean mungkin kacau dan risau sebab untuk mendapatkan kos sebanyak itu bukannya mudah. Ambil masa dan tenaga, tetapi masalahnya dalam keadaan sekarang dia tidak boleh bekerja untuk mencari wang.