Oktober 09, 2012

Berita Artis : Hannah Tan Menderita Di Jepun

Pengalaman dua tahun mengembangkan karier seni di Jepun, mungkin ramai beranggapan dia cukup bertuah mendapat peluang sebegitu. Namun hakikatnya sepanjang membina kerjaya di sana merupakan satu pengalaman pahit tapi manis bagi model, penyanyi juga personaliti TV popular, Hannah Tan. Figura kacukan Cina-Kelabit ni merupakan artis pertama Malaysia yang melancarkan album di Jepun.

Berkongsi pengalaman dengan malaysiadigest.com, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Sarah Tan berkata setahun yang pertama penghijrahan di matahari terbit itu, boleh dikata setiap hari dia menangis. Berdepan dengan jadual kerja yang sangat padat, menerima tekanan daripada pihak pengurusan juga orang sekeliling yang mahukan dia melakukan yang terbaik setiap masa. Melalui kehidupan dalam suasana serta budaya yang berbeza termasuklah bahasa pertuturan. Ditambah dengan persaingan yang sangat sengit daripada artis negara itu sendiri. Itu antara cabaran yang terpaksa dilalui.

Namun wanita berusia 31 tahun ni tiada pilahan lain melainkan perlu bekerja keras setiap hari demi menjadikan pengorbanannya berbaloi. Sekaligus membuktikan anak Malaysia tidak mudah berputus asa dan mampu berjaya.

"Setahun yang pertama setiap hari saya menangis. Saya telefon ibu saya dan katakan padanya yang saya mahu balik Malaysia. Sampai satu tahap, saya terasa seperti saat itu juga mahu dapatkan tiket kapal terbang dan balik!"

"Di sana saya dibuli. Budaya kerja di sana sangat berbeza dengan di sini. Pihak pengurusan saya sangat tegas. Setiap hari saya menerima tekanan ditambah dengan jadual kerja yang padat. Tak cukup tidur. Pendek kata, kerja, kerja dan kerja. Persaingan di sana sangat sengit.



"Dalam masa enam bulan pihak pengurusan mahu saya mahir bertutur dan membaca dalam bahasa Jepun. Saya ikuti kelas sepanjang itu. Selain tu saya pernah dijadualkan membuat persembahan di 40 buah tempat seluruh Jepun dalam masa dua bulan. Beerti saya membuat dua persembahan dalam sehari.

Pergaulan saya juga terbatas. Saya tak boleh membuat apa-apa sesuka hati. Ke mana saya pergi, ada pengawal yang mengiringi. Saya tak ada ramai kawan. Bila balik ke sini, ramai sangka saya ada teman lelaki berbangsa Jepun. Tapi hakikatnya memang tak ada. Tak sempat pun nak cari", ceritanya dengan panjang lebar sambil tersenyum.

Hannah Tan ditemui di majlis pelancaran produk kecantikan dari Jepun, Lumine, di Pavilion baru-baru ini.

Walaubagaimanapun dengan sokongan ibu, anak kelahiran Pulau Pinang ni bersyukur kerana pengalaman dan 'penderitaan' yang dialami menjadikan dia seorang yang kuat dan bangga sebagai anak Malaysia.

"Ibu sayalah yang banyak memberi semangat kepada saya. Katanya, saya tidak boleh mudah putus asa kerana ramai lagi diluar sana yang ternanti-nanti untuk mendapat peluang seperti saya. Kata ibu lagi, saya juga menjadi harapan ribuan rakyat Malaysia untuk mengharumkan nama negara di sana. Seperkara yang saya belajar, kita takkan tahu tahap keupayaan kita untuk menghadapi sesuatu itu, selagi kita belum menempuh cabaran yang hebat.

"Saya bertuah kerana selama di sana juga belajar banyak perkara. Selain tu, semasa membuat persembahan di sana, ramai orang Malaysia datang dan saksikannya. Saya gembira. Setiap kali saya di wawancara, sering ada soalan yang membuatkan saya akan bercerita tentang Malaysia. Saya teruja, seronok, bangga dan lebih menghargai Malaysia bila dapat bercerita tentang negara sendiri pada orang-orang di sana",
ujarnya lagi.

Kini sudah hampir setahun Hannah pulang dan dia memutuskan untuk menetap di sini. Seronok dengan kehidupan sekarang Hannah sedang rancak mengusahakan perniagaan dalam bidang software danprogramming. Seiring dengan itu, dalam diam-diam Hannah sedang mengumpulkan material untuk album terbarunya.

"Saya balik ke sini sejak kejadian Tsunami lalu. Disebabkan radiasi, saya ambil keputusan untuk terus tidak balik lagi ke sana. Lagipun saya tidak berapa sihat pada ketika itu. Kontrak saya masih belum tamat namun pihak pengurusan memahami. Dan satu kelebihan dalam muzik, kita boleh rakamkan lagu di sini dan kemudian hantar ke sana.

"Buat masa sekarang saya mahu menumpukan kepada pernigaan dulu. Saya juga baru saja memperbaharui kontrak sebagai pengacara MYEG Xtra Time saluran ESPN bersama Diana Danielle dan Sazzy Falak. Sambil-sambil tu kalau ada masa, saya tulis lagu dan tulis jurnal", katanya lagi.

Cuba menyelami tentang cerita cintanya, Hannah pantas memberitahu dia kini masih solo. Sudah bersedia mahu mendirikan rumah tangga cuma masih lagi belum menemui jejaka yang sesuai dan mampu mencuri hatinya.

"Saya ni seorang yang bosan. Kalau tidak bekerja, saya suka habiskan masa duduk rumah. Saya suka masak. Saya tak suka lepak di luar. Sebab tu mungkin susah nak dapat teman lelaki. Bukan memilih tapi susah nak cari lelaki yang betul-betul memahami diri saya", katanya yang mengimpikan ciri-ciri lelaki yang bersederhana, suka makan, tak merokok dan bukan kaki minum.

sumber :Malaysiandigest

ZoOM : Bak kata orang Lain Lubuk Lain Jugalah Ikannya....Hujan Emas dinegeri Orang Hujan Batu di negeri sendiri (betul ke :)...)  Apa-apa pun Good Luck Hannah Tan...

Jika Dah Baca ClickLah Like @ Share !!