Mendengarkan pengakuan itu, Hits terus mendalami soal perkahwinan itu yang dijawab dengan penuh terbuka oleh penyanyi genit berusia 37 tahun itu.
Namun, syarat yang ditetapkan oleh Atilia adalah untuk tidak mendedahkan nama bakal suaminya dan hanya mahu dikenali sebagai Bot.
Kata Atilia, arjuna hatinya itu seorang yang pemalu.
Tanpa selindung, Atilia menjelaskan pintu hatinya sudah terbuka untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua selepas dia dan Bot sudah mula memperkatakan tentang perkara tersebut.
Mula berpacaran secara serius hampir tiga tahun lalu sebaik sahaja sah bercerai dengan bekas suami, Ariff Johan Abdul Aziz, Atilia mengaku cukup selesa berdampingan dengan Bot.
Walaupun jejaka itu muda tiga tahun, bagi Atilia, jurang usia bukan satu masalah besar. Apa yang penting adalah kematangan lelaki itu dalam perhubungan mereka.
"Ketika saya berhadapan dengan masalah, Bot ada di samping saya. Dia banyak mengambil berat tentang diri saya dan kami juga banyak berkongsi minat dan cita rasa yang sama.
"Tetapi jangan salah faham kalau ada yang beranggapan dia adalah orang ketiga dan menjadi punca saya bercerai dengan Ariff Johan. Itu semua tidak benar.
"Sebetulnya, kami memang sudah lama mengenali. Lebih daripada 10 tahun lalu memandangkan dia terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir dalam bidang muzik," hurai pemilik nama penuh Raja Putri Atilia Raja Haron ini sewaktu sesi fotografi di Damansara Perdana, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Dalam usianya yang sudah dipenghujung 30-an, memang sudah layak untuk Atilia kembali berumah tangga dan menjadi seorang isteri.
Apabila memperkatakan tentang kesediaan untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ujar Atilia, dia sememangnya menanti masa yang sesuai untuk berbuat demikian.
Apatah lagi hampir tiga tahun menjalani kehidupan seorang diri, dia menikmati kelebihan itu dengan penuh bebas terutama masa bersama teman-teman wanita rapatnya.
"Sebagai seorang yang solo dan tidak terikat dengan komitmen, saya dapat melakukan banyak perkara yang jarang dilakukan ketika berkahwin dulu.
"Mungkin kerana saya pernah berkahwin di usia yang muda, pergerakan saya sedikit batas dan saya perlu menjaga status sebagai seorang isteri.
"Tetapi ini bukan bermakna saya akan melengahkan soal kahwin. Memang itu dalam perancangan saya untuk tahun ini tetapi bilakah tarikhnya, saya sendiri kurang pasti kerana banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan.
"Daripada perbincangan dengan Bot, kemungkinan besar, perkahwinan akan berlangsung sama ada selepas Aidilfitri atau pun penghujung tahun ini," kata satu-satunya puteri kesayangan penghibur malar segar, Salamiah Hassan ini lagi.
Suka Gossip Ini ClickLah Like @ Share !! Follow @zoomartis