Oktober 19, 2010

Forum Antarabangsa Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010

KUALA LUMPUR 29 Julai – Buat julung kalinya, Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung Oktober akan dimulakan dengan persidangan Forum Antarabangsa melibatkan delegasi asing dan wakil-wakil parti luar negara, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya, forum tersebut akan berlangsung selama dua hari sebelum bermulanya Perhimpunan Agung UMNO iaitu pada 18 dan 19 Oktober di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
“Istimewanya, forum ini akan menampilkan negarawan terkemuka iaitu Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyampaikan ucaptamanya dan majlis perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala majlis penutupnya akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak,” jelas beliau.





Katanya lagi, antara objektif diadakan forum sedemikian adalah untuk membincangkan masalah-masalah global melibatkan tema ‘Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru’, agar dapat dikongsi bersama.




“Kita berbesar hati untuk mendengar, berkongsi dan menerima pandangan pelbagai pihak termasuklah wakil-wakil negara asing agar semua permasalahan dapat diatasi demi kesepakatan sejagat di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut Tengku Adnan lagi, keterbukaan UMNO menerima pandangan bukan hanya terbatas kepada ahli-ahlinya sahaja tetapi pandangan pihak luar amat dihargai.



“Ini kerana UMNO bukanlah parti yang bersifat ekslusif kepada anggota tertentu sahaja sebaliknya ia inklusif kepada semua pihak, asal saja memberi manfaat dan selaras dengan asas perjuangan parti,” tegasnya.
Forum tersebut akan mengetengahkan seramai 500 orang peserta terdiri dari kedutaan asing yang berada dalam negara, ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, barisan exco pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta setiausaha politik dan setiausaha akhbar parti-parti komponen Barisan Nasional.


Dalam masa yang sama, Kelab UMNO Luar Negara, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi tempatan dan swasta serta badan bukan kerajaan juga turut hadir bagi membincangkan isu global tersebut. – MediaUMNO





Zoom : Nak Share dengan pembaca di Zoomartis je :)