Mac 23, 2010

Najwa Keluarkan Album Sulung Sebelum Pergi AS

Nama Najwa semakin meniti di bibir peminat dunia seni suara tanah air setelah berkolaborasi bersama bintang rap & hip hop, Malique menerusi lagu Kau Yang Punya hampir dua tahun lalu.
Najwa lebih sinonim dengan perjuangan muzik bebas atau indie dahulu, namun penampilannya dalam lagu tersebut terus membuka ruang buatnya untuk menangguk di arus perdana. Menyoroti perkembangan karier, Najwa mengakui, dia mendambakan album penuh sulungnya diterbitkan secepat mungkin.

Penyanyi ini ingin menghasilkan album penuh sebelum dia menyambung semula pengajian yang berbaki dua tahun lagi di Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat hujung tahun ini. Najwa yang telahpun menggubah kira-kira 10 buah lagu akan tampil dengan single pertamanya, Got To Go pada pertengahan tahun ini.

Lagu berbahasa Inggeris itu berkisar kepada lelaki yang mencurangi kekasihnya. Manakala, melodi yang dipertaruhkan pula menggabungkan elemen soul, R&B dan jazz, bersesuaian dengan kemampuan vokal Najwa.