Penyanyi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan, 29, menafikan dakwaan kononnya dia menjual tubuh dan meniduri orang tertentu demi mencipta nama dalam sekelip mata.
Dalam nada kesal, Alyah berkata gosip mula disebarkan pihak tidak bertanggungjawab mendakwa dia melakukan perbuatan keji itu selain ditaja ‘sugar daddy’ sejak namanya melonjak dalam dunia hiburan.
“Perlu apakah saya melakukan semua itu? Saya masih ada kudrat menyanyi dan mencari rezeki dengan tulang empat kerat. Saya tak tahu apa motif pihak tertentu menuduh saya tidur dengan orang (lelaki) dan memperdagangkan diri.
“Malah, anak angkat saya juga dituduh hasil hubungan sulit dan itu amat keterlaluan! Apakah dosa saya sehingga dituduh seperti itu? “Lebih menyedihkan saya dituduh suka menggunakan bomoh. Dulu memang saya pernah sakit tapi sudah berubat dengan orang yang pakar dalam hal agama. Saya tetap percayakan kuasa Tuhan, sering bertawakal dan berdoa agar diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, malam tadi.