Mei 10, 2009

Malaysian News : Rempit, bohsia dan pariah

Sudah lama orang tahu bahawa mat rempit yang berkeliaran di jalan raya adalah sial. Mereka membawa kecelakaan kepada semua orang dan lebih malang mat rempit adalah profesion remaja Melayu yang tercicir dalam perlumbaan hidup di tengah kota. Mereka tercicir dalam pelajaran kemudian tercicir pula dalam status sosial. Mereka menjadi pariah.

Mat rempit menular menjadi peragut. Minggu lepas dua wanita maut akibat diragut untuk mendapatkan beberapa ringgit saja dari beg milik mangsa. Inilah manusia sial yang diangkat sebagai “wira” dalam drama dan filem kita.

Kalau ada dua tiga kerat mat rempit yang berjaya dalam hidup, janganlah menganggap mat rempit itu sebenarnya mulia. Jangan dengan fikiran yang penuh dengan selut berusaha untuk memberikan idealisme kepada mat rempit kemudian menjadi pembunuh.

Kalau ada penerbit drama menganggap kisah mat rempit yang mereka angkat itu sebagai realiti, itu adalah tanggapan orang yang kurang otak. Penerbit drama tolong dengar sini, surat khabar dan berita di televisyen sudah cukup menyiarkan realiti, realiti anak-anak muda Melayu yang menjadi pariah.

Peranan karya kreatif seperti drama atau filem adalah membuat tafsiran kepada realiti. Kisah mat rempit dalam drama Melayu bukan tafsiran tapi mengangkat bulat-bulat kemudian membersihkan kekotoran imej mat rempit. Tahniahlah kepada stesen televisyen yang mempromosikan mat rempit, budaya songsang anak-anak muda di kota termasuk bohsia.

Dangkalnya filem dan drama tentang masalah sosial adalah tidak menyusuri dalam diri watak. Filem atau drama hanya menyapu lapisan luar dan perwatakan pula sangat artifisial. Apa yang boleh kita ambil iktibar daripada drama atau filem begini? Mesej? Tolonglah jangan membahlulkan penonton yang menonton untuk mengutip mesej yang berkarung-karung.

SITI JARUM: Ekuiti bumiputera 30 peratus, mat rempit, bohsia dan bla... bla... bla.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp