Mei 06, 2009

Malaysian News : Cerita PLKN Diana, Suki, Alif

Cerita Artis Di PLKN



SEBULAN lalu, tiga artis remaja ini menunaikan tanggungjawab kepada negara apabila melapor diri menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ditempatkan di Kem Princess Haliza, Sepang, masing-masing punyai kekuatan tersendiri dalam menghadapi cabaran mendatang.

Meski memegang status sebagai artis, status itu tidak mereka gunakan untuk mendapat layanan istimewa dan menjalani kehidupan sama seperti pelatih yang lain.

Dimarahi dan didenda atas kesalahan yang dilakukan, semuanya dilalui oleh Diana Danielle, 18; juara program realiti One In A Million (OIAM), Suki atau Low Sook Yee, 20; dan finalis OIAM, Muhammad Aliff Mohd. Satar (Alif), 19.

Biarpun begitu, perasaan bangga tetap hadir dalam jiwa mereka kerana dapat melalui apa jua dugaan dengan penuh kesabaran sepanjang menjalani PLKN.

Bagi Diana, Suki dan Alif, PLKN adalah peluang untuk menambah keyakinan diri di samping mengenali lebih ramai rakan taulan terutama yang datang dari Sabah dan Sarawak.

Melakukan aktiviti-aktiviti lasak juga menjadi kegemaran mereka antaranya berkayak, menjalani latihan menempuh halangan serta latihan ikhtiar hidup di dalam hutan.

Menjalani latihan pengendalian senjata api M-16 adalah saat yang paling ditunggu- tunggu serta menjadi impian mereka.

Berlangsung di Lapang Sasar Batu Hampar, Bukit Jugra, Banting, pada pagi Jumaat minggu lalu, impian Diana, Suki dan Alif akhirnya tercapai apabila diberi kesempatan untuk membidik senjata api berkenaan.

Melepaskan 20 das tembakan ke arah sasaran pada jarak 100 meter, Diana menembak cemerlang apabila memungut 78 mata berbanding Suki (76 mata), manakala Alif dengan 52 mata.

"Pada mulanya saya memang gugup dan takut untuk memegang senjata api berkenaan. Saya rasa tidak yakin kerana macam-macam perkara negatif yang difikirkan.

"Namun, jurulatih dan rakan-rakan datang memberikan semangat. Alif yang banyak mententeramkan saya.

"Apa yang menarik, selepas berjaya melepaskan tembakan, saya rasa tidak puas dan ingin mencuba sekali lagi,'' ujar Diana ketika ditemui sebaik selesai menjalani latihan berkenaan.

Latihan pengendalian senjata api M-16 termasuk kelas teori pengenalan dan cara-cara mengendalikan senjata api itu mendapat tunjuk ajar pegawai serta anggota dari 12 Briged Kem Wardieburn.

Semua lagak ketiga-tiga artis tersebut ketika menjalani latihan menembak serta aktiviti-aktiviti lain akan dapat disaksikan di 8TV menerusi program yang dinamakan Project N.S.

Program yang akan bermula 8 Mei ini merupakan sebuah dokumentari membabitkan perjalanan dan pengalaman PLKN yang dilalui mereka.

Menyambung bicara, Diana berkata, latihan menembak merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan olehnya sampai bila-bila dan ia pasti sukar untuk dirasai andai berada di luar PLKN.

Katanya yang juga Timbalan Penghulu Wirawati Kem Princess Haliza, inilah keistimewaan menyertai PLKN. PLKN bukannya program menyeksakan seperti yang digambarkan sesetengah pihak sebelum dirinya melapor diri sebagai pelatih program terbabit.

"Di sinilah tempat kita diajar keyakinan diri. Menjalani PLKN bukannya susah.

"Jurulatih pun baik dan mereka amat mementingkan disiplin setiap pelatih," jelasnya yang sempat menasihatkan kepada bakal pelatih PLKN pada masa akan datang agar membuang perasaan ego dan hadir dengan hati yang terbuka saat melangkah masuk ke program tersebut.

Suki pelatih berdisiplin

Bagi Suki pula, setakat sebulan menjalani PLKN, dirinya sudah banyak mengutip pelbagai pengalaman yang pasti akan dirindui apabila tamat bergelar pelatih nanti.

"Hubungan sesama rakan pelatih pun bagus. Kami saling mengambil berat antara satu sama lain. Soal disiplin pula memang menjadi tonggak dalam PLKN.

"Setakat ini, saya tidak ada masalah dengan disiplin dan tidak pernah dikenakan denda.

"Jurulatih di sini pun muda-muda dan mereka amat memahami perasaan kami,'' katanya yang suka aktiviti berkayak.

Ditanya tentang latihan pengendalian senjata api M-16, Suki menjelaskan bahawa ia merupakan aktiviti yang cukup menyeronokkan.

"Memanglah mula-mula rasa takut kerana kami diberikan peluru hidup. Tetapi, seperti kata Diana, sebaik selesai, rasa tidak puas pula,'' ujarnya yang teringin hendak melakukan aktiviti rondaan malam.

Alif tidak 'memilih bulu'

Sementara itu, Alif yang enggan bernada kecewa kerana mengutip 52 mata hasil tembakan yang dilakukan dalam latihan pengendalian M-16 berkata, ini adalah pengalaman pertamanya memegang senjata api berkenaan.

"Saya sempat 'beraksi' ala-ala tentera sebelum melepaskan tembakan.

"Ia sangat memberikan kepuasan dalam hidup kerana berlatih menggunakan M-16 adalah impian dan sasaran saya sebelum menyertai PLKN,'' jelasnya.

Menurut Alif, selain latihan menembak, PLKN meyediakan pelbagai aktiviti lain bertujuan untuk membentuk keperibadian dan semangat kerjasama antara pelatih.
Kepada soalan mengenai siapa rakan baiknya di PLKN, Alif berkata : "Saya tidak ada rakan baik di sini. Kalau kita bersikap memilih, sudah tentu kita akan dilihat anti-sosial.

"Justeru, saya cuba rapat dan berkawan dengan semua orang.''

Info : Utusan Malaysia