Mei 06, 2009
Akademi Fantasia : Drama 'murah' AF7 berterusan
MINGGU lepas menyaksikan lakonan dan drama di Akademi Fantasia musim ketujuh berterusan (AF7) apabila pengetua, Datin Seri Tiara Jacquelina turut memainkan peranannya dalam 'drama' tersebut.
Kisahnya bermula sebaik sahaja pelakon atau pengacara, AC Mizal mengumumkan dua orang pelajar tersingkir pada malam itu, Tiara kelihatan 'terkejut' dan terus menemui AC Mizal untuk melihat sendiri keputusan tersebut.
Kemudian, Tiara bertemu tenaga pengajar yang lain untuk berbincang sebelum naik ke pentas lalu meminta mikrofon daripada AC Mizal untuk membuat pengumuman.
"Sebagai pengetua, keutamaan saya adalah untuk pelajar-pelajar saya dan peminat-peminat AF7.
"Oleh itu, dengan kuasa veto yang ada pada pengetua, saya ingin memberi peluang kepada peminat-peminat AF7 mengundi pelajar-pelajar saya yang telah tersingkir untuk layak ke final nanti," ujarnya dalam nada yang sedih.
Walaupun lakonan tersebut berjaya, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana format undi masuk telah diperkenalkan sejak musim kedua lagi.
Linda, Mawi, Marsha dan Lotter adalah antara yang telah diundi masuk semula sebelum ini.
Persoalannya, kenapa pengumuman Afundi Masuk harus dilakukan oleh orang paling tinggi dalam AF7?
Sejurus berakhir konsert minggu lalu, Tiara dijejaki media. Sayang sekali, wartawan difahamkan Tiara kurang sihat dan tidak dapat ditemui.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, keputusan undi masuk itu dibuat secara drastik berdasarkan keputusan penyingkiran pelajar pada malam tersebut.
"Kami ingin memberikan peluang sekali lagi kepada pelajar-pelajar yang tersingkir untuk beraksi di final.
"Ini kerana berdasarkan pengamatan kami, kesemua 14 pelajar yang terpilih untuk AF7 mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri. Cuma adat pertandingan, pasti akan ada tersingkir," ujar Khairul Mizan pada sidang media.
Ini bermakna peluang terbuka sekali lagi buat Adila, Obri, Rini , Rubisa, Zizi, Qhaud, Sidi, Aril, Aishah dan Claudia untuk beraksi di final sekali gus berpeluang untuk menjadi juara AF7.
"Daripada 10 pelajar tersebut, hanya seorang sahaja yang mendapat undian tertinggi akan dipilih menjadikan lima orang finalis di konsert akhir pada 16 Mei nanti.
"Segala maklumat mengenai Afundi Masuk akan diumumkan dari masa ke semasa menerusi Diari AF ," jelas Khairul Mizan lagi.
Ketika ditanya sama ada Afundi Masuk merupakan satu konspirasi untuk memasukkan Aril sebaik sahaja pelajar tersebut tersingkir pada konsert yang ketujuh, beliau pantas menafikannya.
"Tiada konspirasi di sini. Keputusan dibuat berdasarkan undian peminat AF7 dan kami menghormati keputusan itu. Jika Aril yang terpilih, ia adalah keputusan orang ramai,'' katanya.
Pada konsert minggu kelapan, AF7 sekali lagi menyingkirkan dua orang pelajar iaitu Claudia Fay Geres (Claudia), 24, dan Siti Aishah Bujang (Aishah), 18, kerana mendapat undian terendah sebaik sahaja undian ditutup.
Claudia yang menyampaikan lagu Katakan daripada teater Puteri Gunung Ledang the Musical dan Aishah (Slot Akasia daripada teater Impak Maksima), nyata keluar dengan cukup bermaruah apabila mampu membuat persembahan yang baik.
Malah kedua-dua mereka juga mendapat pujian daripada pengkritik yang terdiri daripada Adlin Aman Ramli, Datuk Khatijah Ibrahim dan Edrie Hashim.
"Memang kami berdua sedih kerana tidak dapat meneruskan perjuangan di akademi, tetapi kami menghormati keputusan dan kehendak orang ramai.
"Lagipun pelajar-pelajar yang tinggal, Hafiz, Yazid, Isma dan Hakim juga mempunyai kelebihan untuk terus kekal di akademi,'' ujar Aishah.
Bagi Claudia, keputusan yang dibuat oleh Tiara untuk mewujudkan Afundi Masuk cukup baik dan sedikit sebanyak mengubat kekecewaannya kerana tersingkir.
Dalam pada itu, Isma yang bersedih dengan penyingkiran dua orang temannya itu pengsan di belakang pentas sebaik konsert berakhir.
"Setakat ini, keadaan Isma beransur pulih dan dia sudah boleh bercakap. Mungkin terlalu letih tambahan perasaan sedihnya dengan penyingkiran Claudia dan Aishah,'' ujar Khairul Mizan.
Tema Teater Muzikal
Di sebalik drama yang berlaku, pujian harus diberikan apabila keenam-enam pelajar berjaya memberikan persembahan yang memukau penonton.
Tema Teater Muzikal yang memetik lagu-lagu daripada tiga buah teater yang pernah dipentaskan, Puteri Gunung Ledang the Musical, Impak Maksima dan P. Ramlee The Musical bukan sahaja menguji kemampuan nyanyian pelajar, bahkan juga dari aspek lakonan.
Dimulakan dengan teater PGLtM, Akim membuka tirai konsert dengan menyampaikan lagu Titah Sultan, diikuti oleh Claudia dengan lagu Katakan.
Nyata persembahan mereka berdua terutamanya Claudia cukup mengasyikkan sehingga Tony Yusof, artis undangan yang melakonkan watak Tuah mengalirkan air mata apabila Claudia meluahkan perasaan cinta melalui lagu tersebut.
Kemudian diikuti oleh Yazid dan Aishah menyanyikan lagu Ratu Novella dan Slot Akasia, lagu daripada teater Impak Maksima.
Kolaborasi mereka cukup harmoni ketika berpadu suara.
Manakala persembahan Isma dan Hafiz untuk teater P. Ramlee The Musical cukup menyentuh jiwa apabila mengalunkan lagu Mulanya Cinta dan Dimanakan Ku Cari Ganti.
Lakonan dan lenggok suara kedua-dua pelajar ini cukup mempesonakan.
Keputusan undian pelajar AF7 pada konsert Sabtu lalu, Yazid (22 peratus), Hafiz (21 peratus), Isma ( 20 peratus), Akim (14 peratus), Aishah (13 peratus) dan Claudia memperoleh 10 peratus