Mei 15, 2009

Hiburan : permulaan Mentor 3 mengecewakan


KONSERT pusingan pertama, Mentor musim ketiga (Mentor 3) membabitkan kumpulan A pada malam Ahad lalu menyaksikan betapa lemahnya penguasaan vokal setiap protege.

Bertaraf 'biasa-biasa' sahaja, terasa bagaikan membuang masa menonton aksi mereka di pentas yang jelas nampak begitu hambar serta kurang bertenaga.
Paling ketara apabila kumpulan Evo menonjolkan ketidakseimbangan suara antara dua anggotanya iaitu Khairul Najmuddin Abu Samah (Hyrul) dan Halhusani Razmi (Sani).

Ini kerana kekuatan lontaran vokal Hyrul dilihat menenggelamkan vokal Sani yang seakan 'curi tulang' dalam mengeluarkan suara.
Persembahan Fira atau Hunanis Zafira Huzaimi juga tidak menyerlah termasuk Camellus De'lelli Anam (Chaq) yang seperti terikut-ikut dengan gaya sebutan serta nyanyian mentornya, Ajai.

Meskipun Chaq menduduki tangga teratas dengan memungut 67.9 mata berbanding Evo (56.4 mata) dan Fira (39.7 mata) bagi pusingan itu, Chaq perlu mencari sesuatu yang dapat melonjakkan aura kehebatannya.
Memanglah wajah manisnya bisa meraih undi penonton, namun ia perlulah seiring dengan pakej vokal yang mampu membuatkan orang ramai dapat membezakannya dengan protege lain. Begitu juga kepada Fira dan Evo

Faktor X

Mencari apa yang sering dikatakan iaitu faktor X, ia perlu diberikan perhatian yang lebih agar dapat diterima dengan baik sebagai artis selepas tamat Mentor 3 nanti.

Walaupun ini masih di pusingan pertama, namun harus diingat bahawa markah yang dipungut akan dicampurkan sehingga konsert pusingan ketiga sebelum mereka mampu melangkah ke peringkat seterusnya.
Menurut Jaclyn Victor yang menjadi mentor kepada Evo, beliau mengakui akan kelemahan anak didiknya sewaktu konsert tersebut.

Jelasnya, Evo mampu melakukan jauh lebih baik berbanding apa yang dipersembahkan mereka pada konsert pusingan pertama.
"Mengenai Sani, saya dimaklumkan bahawa dia kurang sihat. Kami akan perbaiki kesilapan untuk konsert akan datang,'' ujarnya.

Bagi Ajai pula, konsert pusingan pertama masih di tahap permulaan dan protegenya iaitu Chaq telah melakukan yang terbaik.
"Jika dia (Chaq) tidak ada bakat, saya tidak akan mengambilnya. Dia mampu menari sambil menyanyi. Inilah kelebihannya,'' katanya.

Jelas Ajai, apa sahaja yang dilakukan, yang penting adalah kepuasan daripada pihaknya mahupun Chaq.
Begitu juga dengan Lah. Menurutnya, Fira telah melakukan yang terbaik dan memuaskan hatinya selaku mentor.

Diajukan persoalan mengenai markah, Lah memberitahu bahawa dirinya menerima apa jua keputusan yang telah dilakukan.
Mentor 3 menampilkan Ally Iskandar selaku pengacara program dan Jurnal Mentor manakala Nas Ahmad turut berperanan di belakang pentas.

Juara pertandingan realiti ini akan menerima hadiah lumayan iaitu protege bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5, manakala mentornya pula meraih RM100,000.
Bagi tempat kedua pula, setiap protege dan mentor akan membawa pulang RM30,000.

Format pemarkahan Mentor 3 adalah melalui tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, undian sistem khidmat pesanan ringkas (30 peratus) dan juri awam (20 peratus).
Ahad ini (17 Mei), konsert pusingan pertama untuk kumpulan B akan berlangsung dengan membabitkan Keena, Thye dan Black.

Apa kepentingan Nas Ahmad?

Sementara itu, Mentor 3 kali ini mengundang rasa kurang senang di kalangan penonton terhadap Nas Ahmad yang ditugaskan untuk mengendalikan segmen di belakang pentas.
Menurut mereka, perjalanan Mentor 3 agak terganggu lantaran sikap Nas Ahmad yang dikatakan agak memualkan tatkala menjalankan tugasnya.

Menjawab mengenai perkara tersebut, Penerbit Mentor 3, Muhamad Sufian Isa berkata, ia merupakan salah satu perubahan yang dilakukan terhadap program realiti itu.
Katanya, Nas Ahmad ditugaskan untuk mengetengahkan apa yang berlaku di belakang pentas atau mengupas mengenai persembahan protege di atas pentas.

"Kami juga ada menerima komen-komen negatif terhadap Nas Ahmad.
"Mungkin cara penyampaiannya akan diperbaiki. Sebenarnya tugas Nas Ahmad adalah untuk mendapatkan reaksi protege terhadap persembahan mereka di atas pentas.

"Reaksi-reaksi ini ada kalanya akan hanya diluahkan mereka di belakang pentas menerusi perantaraan Nas Ahmad,'' jelasnya.
Saat diajukan persoalan mengenai kejadian prop yang hampir terjatuh ketika persembahan Fira, Muhamad Sufian menjelaskan bahawa ia akan diberikan perhatian pada konsert-konsert akan datang.

"Selain kejadian itu, kita juga akan perbaiki sistem audio,'' tambahnya.

Info : Utusan Malaysia