Rich tidak kisah persepsi orang terhadap anaknya Joshia Richael Gimbang
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Rich dan Velvet semakin bahagia dengan kelahiran Joshia
TARIKH 1 Mei menjadi satu tarikh yang cukup bermakna buat pasangan Rich dan Velvet apabila mereka menyambut kelahiran permata sulung mereka, Joshia Richael Gimbang.
Bayi lelaki seberat 3.1 kg itu dilahirkan secara normal kira-kira pukul 10 pagi di salah sebuah hospital swasta di Sabah.
Kelahiran Joshia pasti akan mengundang cakap-cakap yang kurang enak daripada pihak-pihak tertentu, apatah lagi pasangan itu baru saja mendirikan rumahtangga sekitar Disember tahun lalu.
Namun, sebagai ayah muda, Rich enggan mengulas lanjut tentang perkara itu. Kata Rich, dia tidak kisah apa saja pandangan orang tentang kelahiran Joshia.
"Saya rasa, saya tidak perlu memberikan apa-apa penjelasan dan berharap semua orang memberikan sokongan kepada saya dan Velvet kerana kami baru membina sebuah keluarga," luah Rich ketika dihubungi hari ini.
Bercerita tentang detik Joshia dilahirkan, tutur vokalis kumpulan Estranged ini, dia akui perasaan gembira itu cukup sukar untuk dijelaskannya.
"Apabila sudah menjadi bapa, ia memberi satu pengalaman baru buat saya. Saya berasa gembira dan sangat terpegun kerana selama ini saya hanya mendengar orang lain bercerita tentang pengalaman mendapat bayi dan menjadi seorang bapa.
"Jadi, kali ini, saya benar-benar dapat merasainya. Ternyata pengalaman sebenar dan apa yang diceritakan adalah berbeza," kata Rich dalam nada ceria.
Ditanya tentang keadaan Velvet ketika ini, kata Rich, isterinya yang juga merupakan finalis Akademi Fantasia musim keempat itu berada di dalam keadaan baik dan sihat.
Rich juga sempat berkongsi tentang keadaan bayi sulungnya itu.
"Joshia mempunyai wajah mirip Velvet dan bercampur sedikit dengan iras wajah saya," katanya.
Rich yang sedang menguruskan pendaftaran sijil kelahiran Joshia berkata, dia mungkin akan menghabiskan masa selama tiga bulan untuk membesarkan anaknya itu bersama Velvet di rumah mereka di Penampang, Sabah.
"Tetapi jika ada 'show', saya akan balik Kuala Lumpur...kena berulang-alik lah," tuturnya.