Mei 14, 2009

( Gossip ) Penjelasan Mila, Syarikat & Sugar Daddy


SETELAH lebih setahun menjadi ahli lembaga pengarah MC Voices & Stars Sdn. Bhd. (MCV), Noorsyarmilla Jirin atau lebih dikenali dengan Mila Jirin (juara AF5) telah membuat keputusan berundur daripada syarikat yang ditubuhkan bersama dengan rakan niaganya, Bernard Cheah.

Pengunduran tersebut dibuat Mila kerana dia mahu lebih fokus mengendalikan syarikat barunya iaitu LuvMila Corporation untuk mengelakkan konflik kepentingan antara syarikat.

Bagaimanapun, seperti perjanjian sebelum ini, MVC masih meneruskan kerjasama untuk menerbitkan album Mila yang sedang dalam pembikinan.


Namun di sebalik perpisahan itu, ada kata nakal yang singgah menyatakan ia bukan perpisahan biasa.

Sebaliknya ia juga dianggap perpisahan antara Mila dan Bernard yang didakwa mempunyai hubungan ‘luar biasa’ dengan penyanyi kelahiran Pulau Mutiara ini.

Ikuti temu bual dengan Mila.

VAZZ: Sebenarnya kenapa Mila keluar daripada MCV? Adakah sebab sudah tak sehaluan atau kerana hubungan ‘luar biasa’ dengan Bernard berakhir, maka Mila pun meninggalkan syarikat?

MILA: Tidak, itu tidak benar sama sekali. Antara kami tidak pernah ada hubungan ‘luar biasa’ seperti yang didakwa. Saya tidak bercinta dengan Bernard. Hubungan kami adalah hubungan profesional.

Saya keluar daripada MCV kerana mahu menumpukan komitmen pada bisnes keluarga yang kami tubuhkan sejak bulan Jun tahun lalu iaitu Luvmila Corporation.

Saya jual syer majoriti saya, 41 peratus kepada Bernard dan 10 peratus lagi pada rakan kongsi baru Bernard. Jadi saya tak mahu ada ketidakseimbangan dalam bisnes, maka saya memilih untuk bersama bisnes keluarga. Lagipun saya tak boleh tamak.

Tapi Mila masih akan terus berurusan dengan MCV selepas ini?

Masih. Malah album sulung saya juga akan diteruskan bersama MCV dan Maestro. Sekarang pun saya dalam proses menyiapkan album itu dan sehingga projek ini selesai, saya dan MCV akan terus bekerjasama.

Apa yang dijual Luvmila?

Kami menjual produk kecantikan dalaman wanita iaitu cucian wanita, sabun herba pemutih, semburan intimasi dan produk makanan kesihatan.

Semua produk jualan saya berasaskan herba. Sebelum menjualnya, saya dan ibu telah mencuba produk ini sendiri selama enam bulan.

Kenapa tidak jual produk penjagaan muka, sebaliknya memilih produk kesihatan dan kecantikan dalaman wanita?

Sasaran saya sebenarnya remaja. Seperti sabun herba pemutih, saya tahu tidak ramai remaja, terutama yang masih bersekolah, mementingkan kesihatan dalaman berbanding muka.

Jadi saya fikir, saya mahu membantu mereka lebih peka tentang kepentingan sabun mencuci vagina ini. Sebab itu saya tak tumpukan pada produk kecantikan muka. Lagipun sudah banyak produk kecantikan muka di pasaran.

Malah saya sendiri sedang berusaha untuk meminta kebenaran daripada kementerian berkenaan untuk menjalankan kempen ke sekolah-sekolah untuk bertemu pelajar wanita dan berkongsi rahsia serta impak penggunaan pencuci wanita.

Kedengaran seperti anda sibuk berniaga sekarang ini. Bagaimana dengan kerjaya seni?

Masih berjalan lancar dan saya sering membuat persembahan. Album juga dalam rakaman. Sekarang saya sudah bersedia untuk berlakon. Esok saya akan menjalani satu uji bakat filem. Saya mahu belajar jadi pelakon.

Kehidupan peribadi? Sudah ada kekasih?

Kalau ikut hati, memang nak ada kekasih. Lagipun usia saya sudah 21 tahun. Kadang-kadang saya rasa sunyi juga. Telefon pun tak berbunyi. Pergi tengok wayang pun masih dengan mak dan ayah. Sunyi.

Tapi bila fikir semula, saya pun tak berani nak bercinta lagi sebab takut tak mampu beri komitmen. Saya pun sibuk, masa untuk diri sendiri pun tak ada. Tapi kalau nanti cinta datang, saya tidak tolak.