Mei 13, 2009

Celebrity News : Melayani kerenah persatuan artis

TIDAK dinafikan, persatuan-persatuan artis cukup penting sebagai payung buat anak-anak seni yang bergelar penyanyi, pemuzik, pengarah filem, pencipta lagu, penulis lirik dan sebagainya.

Malah, pembancuh air di lokasi penggambaran drama dan filem sekalipun turut dipayungi hak serta kebajikan mereka, misalnya menerusi Persatuan Pekerja-Pekerja Filem Malaysia (PPFM).

Di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) contohnya, terdapat 11 persatuan yang mewakili sebahagian besar daripada ribuan orang penting dalam industri hiburan di negara ini.

Bukan setakat pembelaan daripada persatuan, malah pihak kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan turut membela semua persatuan di bawah Gafim.

Buktinya, sejak beberapa tahun lalu kementerian itu memberi sumbangan kewangan RM20,000 hingga RM30,000 setahun kepada persatuan-persatuan yang berada di bawah gabungan tersebut.

Sayangnya, terdapat segelintir persatuan artis yang dilihat seperti kurang bersyukur dengan pelbagai insentif yang telah diberikan dan lebih banyak bercakap daripada bekerja melalui persatuan masing-masing.

Sikap dan mentaliti mereka itu dapat dilihat pada Majlis Pertemuan Dengan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Seni Budaya bersama menteri kementerian itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Dr. Rais nampaknya tidak menang tangan melayani pelbagai kerenah presiden dan wakil-wakil persatuan yang mempunyai pelbagai permintaan meleret-leret tanpa hujung pangkal yang jelas.

Antaranya, soal hakcipta atau royalti drama dan filem yang disiarkan menerusi stesen-stesen televisyen kerana ia merupakan perkara rumit yang harus mengambil kira kepentingan pelbagai pihak.

Bagi menangani isu itu, suatu akta harus diwujudkan supaya ia menjadi undang-undang dan dipatuhi oleh semua pihak di mana proses merealisasikannya bukannya mengambil masa sehari dua.

Draf cadangan

Dalam hal ini, semua pihak terbabit sepatutnya tampil ke depan menyediakan draf-draf cadangan untuk menyelesaikan isu itu yang sudah diperkatakan sejak dari dulu lagi.

Tetapi tidak pula kita lihat mereka yang terbabit sanggup duduk semeja bagi menyelesaikan kepentingan itu yang tentunya juga membabitkan ahli-ahli mereka.

Kebanyakan presiden atau wakil-wakil persatuan artis pada majlis itu juga seolah-olah mahu menonjolkan diri masing-masing walaupun hasil kerja mereka bersama persatuan yang diterajui tidaklah seberapa.

Kalau dalam bidang perfileman misalnya, para pegawai Finas sering menjadi 'kambing hitam' dan dipersalahkan jika tuntutan-tuntutan mereka tidak dipenuhi dengan serta-merta.

Harus diingat bahawa fungsi Finas bukan setakat membantu persatuan-persatuan artis di bawah Gafim, walaupun ia adakalanya tidak ubah seperti sebuah rumah kebajikan.

Sebaliknya, orang-orang di Finas ada banyak lagi tugas mereka termasuklah soal pembangunan, pemasaran dan khidmat latihan yang harus diberikan dalam industri tersebut.

Justeru, pihak kerajaan terutamanya Finas tidak seharusnya memberi muka kepada golongan-golongan ini yang suka sangat mengambil kesempatan selama ini.

Jika perlu, kementerian bolehlah mengkaji semula bantuan tahunan berjumlah lebih RM20,000 setahun kepada persatuan-persatuan artis yang 'beku' ini. Persatuan yang menerima bantuan juga perlu diwajibkan mengemukakan laporan kesemua aktiviti mereka sepanjang tahun.

Ini kerana difahamkan ada persatuan artis yang sudah beberapa tahun tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka. Jadi, apa yang mereka lakukan dengan duit tersebut?

Kita tidak mahulah bantuan dan keprihatinan kerajaan itu diambil mudah atau disalahgunakan oleh persatuan-persatuan artis seperti ini yang ibarat 'hidup segan mati tidak mahu.'

Mereka sering jadikan alasan untuk perjuangan artis di bawah naungan. Kalaulah benar alasan itu, apa kesudahan isu cetak rompak, kebanjiran artis luar di negara ini, royalti dan banyak lagi isu lain yang tidak berkesudahan sehingga kini?

Atau memadaikah fungsi persatuan-persatuan artis yang ada dengan bantuan kewangan kerajaan yang telah diberi selama ini hanya untuk membayar bil eletrik, air dan sewa pejabat mereka semata-mata?