Mei 10, 2009

Artis Malaysia : Rita mudah terasa hati


Pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 32, pernah menangis kerana kebahagiaan yang diharapkan terhadap perkahwinannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak, 21, diuji.

Ujian terhadap rumah tangga Rita dan Aidil yang dibina menerusi perkahwinan "rahsia" di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu itu tidak habis begitu saja apabila ada pula pihak yang sangsi terhadap pernikahan berkenaan.

Tetapi bak kata Rita, yang baik adalah urusan Allah. Maka pada 22 April lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur akhirnya memutuskan pernikahan mereka itu sah dari hukum syarak.

Tentulah harapan mereka berdua selepas ini tidak ada lagi mana-mana pihak yang mencari jalan untuk melihat kehancuran rumah tangga mereka itu.

"Kami kahwin atas dasar cinta. Walaupun perkahwinan ini penuh ranjau dan durinya tetapi yang penting ia halal dan diterima oleh Allah," kata Rita terharu setiap kali bercerita mengenai rumah tangganya itu.

Umum sudah tahu Rita dan Aidil masih dalam proses untuk meyakinkan keluarga mengenai kesungguhan cinta mereka.

Malah apa yang dipinta dan diharapkan agar semua pihak dan sesiapa saja dapat mendoakan sesuatu yang baik untuk mereka.

Apatah lagi ketika usia kandungan Rita yang sudah masuk tujuh bulan, ketika ini dia mahukan sepenuh perhatian daripada suami dan keluarga sebelum melahirkan bayinya itu.

Akui Rita, pada keadaan ini, jiwanya mudah sensitif dan kadang kala cepat terasa hati. Yalah, jiwa orang yang sedang mengandung.

"Dah masuk tujuh bulan ni Rita rasa ada perubahan sikit pada diri Rita. Kadang-kala rasa penat dan sakit bawah perut. Berjalan pun tak boleh banyak sangat," katanya.

Pada saat perutnya semakin membesar itu, Rita bersyukur kerana si suami mula memahami tanggungjawab dan peranan yang perlu dilakukan.

Dek kerana tak ada pengalaman, Rita mengakui diawal kandungannya Aidil seolah-olah sukar memahami jiwa orang yang sedang mengandung. Tapi hari ini Aidil sudah memperlihatkan kesungguhannya untuk lebih bertanggungjawab sebelum bergelar ayah tidak lama lagi.

"Saya tak mahu apa-apa pun cuma kasih sayang dan belaian daripada suami. Masa mengandung ni saya inginkan semua itu.

"Malah doktor pun kerap pesan jangan selalu murung, jangan banyak menangis. Doktor takut akan mempengaruhi bayi di dalam kandungan," kata Rita.

Dalam masa yang sama Rita bersyukur dia mendapat perhatian sepenuhnya daripada keluarganya yang berada di Perlis.

Peluang pulang ke kampungnya di Utan Aji, Kangar kira-kira dua minggu lalu, Rita menggunakan masa sepenuhnya untuk berehat.

Malah lebih penting hasrat untuk makan mempelam Siam pokok di belakang rumah itu tercapai.

"Entahlah, bukan tak boleh makan mempelam lain tapi yang di belakang rumah tu juga Rita teringin. Bila dapat makan, memang Rita pulun sampai cirit birit," katanya.

Menurut Rita, sepanjang berada di kampung ibunya Basariah Ibrahim, 58, dan keluarga memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap Rita. Malah ibunya juga sudah menempah tilam dan tempat letak pakaian bayi di kampung.

Perhatian yang diberikan itu memperlihatkan betapa ramai orang yang menyayangi Rita dan mahu melihat pernikahannya dengan Aidil itu bahagia selain selamat melahirkan bayi nanti.

"Ada juga jiran Rita yang hendak mengerjakan umrah. Dia tanya Rita nak kirim apa? Rita minta dia doakan yang baik-baik cukuplah untuk Rita dan Aidil," katanya.

Mereka seolah-olah tidak sabar menantikan kelahiran bayi sulung Rita itu pada bulan Julai nanti. Mengikut jangkaan doktor, Rita akan memperoleh bayi lelaki.

Walaupun Aidil mengimpi untuk mendapat bayi perempuan tetapi mereka tidak kisah mengenai jantina anak yang hendak dilahirkan.

Pada Rita kalau anak sulungnya itu lelaki, tentu saja anaknya nanti akan dapat menjaga kebajikan adik-beradiknya yang lain.

Bercerita bagaimana penerimaan keluarganya terhadap Aidil, kata Rita kadang-kala dia berasa "cemburu" melihat keluarganya itu seperti melebih-lebihkan menantu.

Tetapi hakikatnya begitulah jika hati ibu-bapa itu murni dan mereka mahu melihat anak menantu mereka bahagia walaupun perkahwinan tersebut penuh dengan kontroversi.

Setiap kali dapat tahu hendak pulang ke kampung, menurut Rita ayah tirinya tidak akan lupa mencari daging bakar kegemaran Aidil. Malah mereka juga menyayangi Aidil sebagaimana mengasihi Rita sendiri.

"Syukurlah... keluarga Rita dapat terima Aidil seadanya. Mereka hormat Aidil dan sayangkan dia macam anak kandung sendiri," kata Rita.

Ketika menghitung hari untuk melahirkan bayinya itu Rita selalu berdoa agar dia dapat bersalin dengan selamat.