Akhirnya selepas berjuang selama 5 minggu Sidi atau nama sebenarnya, Mohd Rashidi Mohamad Isa terpaksa akur dengan keputusan Afundi SMS yang tidak berpihak kepadanya malam tadi.
Beliau yang mendendangkan lagu Cinta Yang Sempurna berduet dengan Zahid AF2 gagal memikat hati penonton walaupun sudah bertungkus-lumus memperbaiki kelemahannya setiap kali melakukan persembahan
Konsert yang bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria (Saluran 104) ini menampilkan kelainan apabila buat julung kalinya memberi peluang setiap pelajar berduet dengan bintang Akademi Fantasia (AF) seperti Vince, Zahid, Mila, Farah, Marsha, Yazer dan Heliza.
Acara yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil menyaksikan pelajar wanita iaitu duet Claudia & Vince (Kau Muzik Di Hatiku/ Jacyln Victor & Vince), Aishah & Aliff Aziz (Dua Hati Menjadi Satu/ Gita Gutawa & Dafi), Isma & Zul 2 By 2 (Kau Mawarku/ Dato' Siti Nurhaliza & 2 By 2).
Manakala persembahan pelajar lelaki adalah Yazid & Yazer (Terharu/ Jamal Abdillah & Mawi), Aril & Marsha (Aku Dan Dirimu/ Ari Lasso & Bunga Citra Lestari), Qhaud & Heliza (Dibius Cinta/Yusry & Melly Goeslow), Hafiz & Mila (Terlanjur Cinta / Rossa & Pasha Ungu) dan Akim & Farah (Jika Kau Tiada/Erra Fazira & Yusry).
Sementara itu, selain persembahan individu, setiap pelajar turut bergabung tenaga dengan persembahan pembukaan yang mendendangkan lagu Lucky nyanyian asal Jason Mraz dan Colbie Caillat.
Dengan penyingkiran Sidi bermakna tinggal lapan lagi pelajar yang akan meneruskan perjuangan mereka meraih gelaran juara AF7. Pengkritik yang bertugas minggu ini adalah Edrie Hashim dan Dato' Khatijah Ibrahim. Adlin Aman Ramlie yang terbabit sebagai hos Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 pula digantikan dengan penyanyi handalan, Adibah Noor.
Konsert malam tadi juga menampilkan transformasi baru apabila pentas ditambahi bebola seperti molekul di atas pentas. Pun begitu, cara penyampaian pula kembali seperti AF terdahulu apabila tiada lagi montaj pelajar tetapi AC Mizal bertindak bermesra dengan pelajar terlebih dahulu.
Di samping itu, tarian dan nyanyian lagu Menuju Puncak kembali dinyanyikan pada akhir konsert.