Nasib tidak menyebelah Zizi yang membawa lagu Aku Dah Bosan walaupun sedaya upaya meyakinkan penonton dengan keluar dari pentas dan meluru ke depan tenaga pengajar dan pengkritik serta buat gimik menjadi pembonceng motosikal. Satu persembahan yang bertenaga juga dari Zizi.
Rubisa pula menyanyi lagu Tiada Lagi seolah menyatakan beliau memang tidak ada lagi dalam Akademi Fantasia.
Konsert yang bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria (Saluran 104) ini menampilkan kelainan menerusi tema persembahan di mana pelajar telah diberikan tugasan untuk membawakan lagu nyanyian Dato’ Siti dan Amy Search.
Sebagai kelainan, kesemua pelajar lelaki tampil membawakan lagu Dato Siti, manakala pelajar perempuan pula mendendangkan lagu Amy. Namun mereka yang telah membuat persembahan dengan cemerlang adalah Claudia, Isma, Akim dan Hafiz.
Persembahan pelajar lelaki lain malam tadi adalah Hafiz (Cinta Ini), Akim (Destinasi Cinta), Yazid (Aku Cinta Padamu), Sidi (Kumilikmu) serta Aril (Lakaran Kehidupan).
Manakala persembahan pelajar perempuan adalah Claudia (Suralaya Dalam D Major), Aishah (Mentari Merah Di Ufuk Timur) dan Isma (Kerja Gila). Lagu bonus, Isabella dan Jerat Percintaan, berjaya disampaikan dengan mantap oleh kesemua mereka.
Dengan penyingkiran Zizi dan Rubisa itu, bermakna tinggal 9 lagi pelajar yang akan meneruskan perjuangan mereka meraih gelaran juara AF7. Pengkritik yang bertugas minggu ini adalah Adlin Aman Ramlie, Edrie Hashim serta Dato’ Siti dan Amy sendiri.
Konsert malam tadi turut mencetuskan suasana panas apabila 2 tenaga pengajar mencapai mikrofon dan bangun membidas kenyataan pengkritik. Mereka adalah Cikgu Fatimah Abu Bakar yang menegaskan bahawa AF7 bukan sekadar pertandingan nyanyian semata-mata, sebaliknya turut menitikberatkan corak persembahan selain vokal.
Cikgu Siti Hajar pula berkata, pemilihan lagu-lagu malam tadi bukanlah pilihan pelajar terbabit namun ditetapkan oleh pihak produksi sebagai satu cabaran kepada mereka.