Nabil Zamanhuri, atau lebih dikenali sebagai Nabil dilahirkan pada 13hb September 1987. Setelah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia di SMK Aminuddin Baki pada tahun 2004, beliau telah menganggotai kumpulan vokal R&B Flowidduz yang pada ketika itu bergerak secara "underground". Mereka terdiri daripada Zarul, Zaril, Effy dan Nabil sendiri.
Persembahan demi persembahan telah dilaksanakan oleh Flowidduz di pelbagai venue, akhirnya mereka dipanggil ujibakat untuk sebuah program realiti TV dipanggil "Mentor". Mereka berjaya melepasi ujibakat tersebut, dan tergolong dalam finalis "TOP 8". Malangnya, lumrah realiti TV memerlukan komitmen yang tinggi daripada mereka ini, maka Effy, Zarul dan Zaril terpaksa menarik diri demi menyambung pelajaran mereka. Nabil pada ketika itu masih baru habis sekolah dan sedang menunggu tawaran daripada universiti meneruskan perjuangan dengan menyertai program "Mentor".
Setelah lebih kurang 6 bulan bertapa di dalam program tersebut di bawah tunjuk ajar Nora dan Johan Nawawi, akhirnya Nabil dinobatkan sebagai Naib Juara. Tetapi ini hanyalah langkah pertama buat Nabil dalam industri muzik tempatan.
Beberapa bulan kemudian, Nabil telah di sunting oleh sebuah syarikat rakaman kecil. Di bawah naungan syarikat rakaman ini, Nabil telah merakam lagu ciptaannya sendiri iaitu "Hati Ini", yang diterbitkan oleh Sham Kamikaze.
Mungkin jodohnya bersama syarikat rakaman itu tidak panjang, maka Nabil terpaksa keluar dari naungan mereka atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Namun, Nabil tidak pernah putus asa dan tetap gigih memperjuangkan muziknya. Syukur Alhamdulillah, "Hati Ini" mendapat sambutan dari peminat muzik tempatan, dan ini menambahkan semangat Nabil untuk terus berkreatif dan tampil dengan muzik yang lain daripada yang lain. Setahun kemudian, terciptalah lagu "Hey Emma!" yang menampilkan irama old-school Motown, ciptaan Nabil dan diterbitkan oleh Johan Nawawi. Lagu tersebut telah dipasarkan di dalam sebuah album kompilasi REALITI dan secara online di GUAMUZIK.COM.MY.
Berbekalkan pengalaman, bakat kreativiti dan sifat experimentasi yang tinggi, Nabil terus maju ke hadapan dan sentiasa mencari kelainan baik dari segi muzik dan juga persembahan pentas. Nabil juga dikatakan mampu menguasai pentas dengan baik dengan kelincahan tariannya. Tetapi beliau tetap menganggap bahawa masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Beliau mengambil kelas vokal dari Lah Ahmad demi memantapkan penguasaan vokalnya. Beliau juga sentiasa berbincang dengan komposer2 dan produser2 yang lebih berpengalaman demi mendapat input untuk menaik-tarafkan skill beliau dalam bidang muzik.
Selain itu, Nabil juga mula meluaskan bidangnya dalam dunia seni. Nabil menjinakkan diri dalam bidang lakonan, iaitu lakonan pertamanya di dalam drama bersiri berjudul "Seribu Erti", dan memegang watak Saiful. Dan pada tahun 2008, beliau juga terlibat dalam menjayakan drama online bersiri "Kerana Karina" musim ke-2 yang diterbitkan di http://www.Gua.com.my, digandingkan bersama nama-nama yang besar seperti Sazzy Falak, Zizan Nin, Marsha Londoh, Ngasrizal Ngasri dan ramai lagi. Pada tahun 2007, Nabil telah menceburi bidang pengacaraan menerusi program TV3 popular REMAJA.
Beliau kini menyambung pelajarannya di Multimedia University Cyberjaya di dalam bidang Filem dan Animasi, yakni sememangnya minat beliau dari kecil untuk melibatkan diri dalam bidang perfileman. Sungguhpun begitu, Nabil masih menerima undangan untuk membuat persembahan. Nabil juga masih aktif dalam penulisan lagu hingga kini. Diharap anda semua mendoakan kejayaan Nabil, dan semoga beliau sentiasa menceriakan industri hiburan tanah air kita dengan hasil-hasil kreatifnya.
Sumber: http://www.facebook.com/nabilzamanhuri